Calon bebas P.165 Tanjung Piai, Ang Chuan Lock pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon bebas Ang Chuan Lock yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai 16 November ini mahu menjadi suara ketiga di  Parlimen.

Lock yang merupakan pengasas pusat tuisyen di Pontian, Batu Pahat,Kluang dan Melaka itu berkata, dia tidak takut berdepan dua parti besar  iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Harapan kali ini.

“Pada mulanya saya agak gementar lihat sorakan dan gelombang merah biru PH dan BN dan penyookong mereka.

“Tapi saya yakinkan diri dan anggap ini satu peluang terbaik untuk saya menimba pengalaman dan menonjol diri serta keupayaan saya untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk penduduk dan pengundi Tanjung Piai sini jika diberi mandat.

“Saya bukan orang asing di sini. Saya lahir dan juga tinggal di sini hampir 50 tahun. Sebagai anak jati tempatan pontian adalah satu kelayakan yang terbaik untuk saya wakili suara masyarakat kami di sini,” katanya ketika ditemui semasa proses penamaan calon di hadapan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian Johor sebentar tadi.

Lock berkata, beliau mengasaskan pusat tuisyen selama lebih 30 tahun dan yakin boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam merencanakan agenda pembangunan lokal di parlimen berkenaan.

“Hasrat bertanding terlintas dalam fikiran saya tetapi sejak pemergian Allahyarham Dr Md Farid Md Farik yang merupakan bekas rakan sekerja perubatan adik bongsu saya di Mahkota Hospital Melaka saya terima sokongan ahli keluarga untuk angkat nama saya sebagai calon.

“Saya tidak asa masalah untuk bekerjasama dengan parti politik lain dan kerajaan semasa di peringkat negeri dan Pusat sebab saya neutral.

“Saya sudah bersiap sedia 90 persatus hadapi kempen dan proses pemilihan PRK ini,”tegasnya.

Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Farik meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu di Hospital Pontian.-MalaysiaGazette