Calon Bebas PRK Tanjung Piai, Ang Chuan Lock : foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok mahu memperjuangkan isu pendidikan sebagai perkara utama yang akan dibawa ke Parlimen sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat di Tanjung Piai.

Beliau ketika ditemui berkata, semangatnya berkobar-kobar untuk melihat sistem pendidikan negara berfungsi dengan lebih baik,  mendorong kepada dirinya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai yang dijadualkan pada16 November ini.

Katanya, sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah perlu diperbetulkan kerana masih ada lagi pelajar-pelajar yang takut untuk rapat dengan guru, sedangkan amalan itu perlu diterapkan dalam diri masing-masing.

“Saya nak lihat masa depan anak-anak menjadi lebih baik dalam pendidikan. Saya nak hubungan baik antara pelajar dan guru dapat dieratkan lagi.

“Apa yang saya nampak, masih ada lagi pelajar yang taku-takut dengan guru untuk bertanyakan sesuatu sekiranya mereka tidak faham tentang pembelajaran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya yang merupakan pengasas beberapa pusat tuisyen.

Chuan Lok berpendapat, tumpuan terhadap pendidikan adalah lebih penting berbanding ekonomi kerana perkara tersebut akan membentuk sahsiah dan keperibadian individu pada masa depan.

Sedangkan isu ekonomi sifatnya lebih global dan sukar untuk dilakukan perubahan ekoran sering berubah-ubah.

“Pendidikan memang sesuatu yang penting. Ekonomi merupakan isu global susah nak buat perubahan.

“Lagipun masalah ekonomi akan membawa kesan kepada masalah sosial macam keselamatan dan kes-kes jenayah. Itu saya tak dapat buat apa-apa sebenarnya,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pendekatan berkempen yang akan dilakukan sepanjang tempoh kempen selama 15 hari yang ditetapkan sebelum PRK, Chuan Lok yang bertanding menggunakan logo kunci berkata, beliau hanya menjadikan laman sosial seperti Facebook sebagai medium untuk mengenengahkan hasratnya itu kepada pengundi-pengundi.

Ini kerana, beliau tidak mempunyai sebarang pentas untuk menonjolkan diri lebih-lebih lagi beliau bergerak dalam situasi yang sangat terhad.

“Saya lebih senang buat pendekatan berkempen dengan cara menggunakan laman sosial seperti Facebook kerana segalanya terhad.

“Lagipun agen hanya isteri. Saya tiada pentas untuk menonjolkan diri kepada orang ramai,” katanya yang mengakui tenang ketika namanya diumumkan sebagai calon semalam. – MalaysiaGazette