DUBAI – Itali merancang untuk mengharamkan penerbangan Iran, Mahan Air susulan hasrat Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan itu yang didakwa Barat mengangkut perkakasan ketenteraan dan kakitangan ke zon perang Asia Barat.

Jerman dan Perancis sudah mengharamkan penerbangan syarikat tersebut manakala Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio pula memaklumkan kepada Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo akan turut berbuat demikian.

Pihak berkuasa penerbangan Itali, ENAC dalam satu kenyataan berkata, pengharaman ke atas penerbangan Mahan ke Rom dan Milan akan berkuatkuasa pada pertengahan Disember.

Persatuan Iran Airlines (AIA) mengesahkan berita tersebut.

“Berhubung tekanan ke atas negara kita, AS telah memberi tekanan ke atas Mahan Air untuk menghentikan penerbangan ke Rom dan Milan,” kata Maqsouq Asadi Samani, Setiausaha AIA.

Jerman telah membatakan lesen syarikat penerbangan itu pada bulan Januari disebabkan tekanan oleh AS dan Perancis mengikut jejak langkahnya selepas syarikat berkenaan dituduh mengangkut kelengkapan ketenteraan dan kakitangan ke Syria dan zon perang Timur Tengah.

AS telah melaksanakan sekatan ke atas Mahan pada tahun 2011, selepas didakwa memberi sumbangan kewangan dan sokongan ke atas Tentera Revolusi Iran.

Mahan Air yang ditubuhkan pada tahun 1992 adalah syarikat penerbangan persendirian milik Iran, memiliki pesawat terbesar beberapa laluan ke Eropah dan Asia. – MalaysiaGazette