Mohamad Sabu. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Pas dibidas Mohamad Sabu kerana didakwa membelakangkan prinsip dahulu yang mahu menambah bilangan ahli parlimen Islam tetapi kini menyokong calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu menganggap Pas hanya pandai memutar belit.

Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Presiden Pas.

“Dia (Pas) kata jangan undi calon bukan Islam di PRK Cameron Highlands dan perlu banyakkan Islam di parlimen tetapi undi parti bukan Islam (MCA) dan tiada pendirian tinggalkan rakannya, Berjasa dalam Gagasan Sejahtera dan nak ikut Bossku (Datuk Seri Najib Razak).

“Penduduk Pekan Nanas jangan ragu-ragu mengundi PH (Pakatan Harapan) dan tolak BN (Barisan Nasional) terus. Kita tak hipokrit kalau ada berkebolehan dalam PH kita akan lantik dia, kalau korup kita tolak dia,” tegasnya yang juga Menteri Pertahanan ketika berkempen pada Forum Kopitiam di Taman Utama dekat sini malam ini.

Turut hadir timbalannya, Liew Chin Tong.

Selain itu, Mohamad menyeru para pengundi Tanjung Piai khususnya komuniti Tionghua supaya tidak terpedaya dengan dakyah perkauman yang disebarkan pembangkang.

Beliau berkata, pengundi di kawasan parlimen itu tidak boleh membenarkan isu perkauman disebarkan media sosial yang semakin bebas dan disalahgunakan.

“Saya harap pengundi di parlimen ini tidak terpengaruh dengan isu perkauman yang semakin menebal dimainkan mereka di luar.

“Orang Melayu kata mereka diperalat oleh DAP manakala orang Cina dimomokkan seolah DAP diperalat dan Lim Guan Eng jadi boneka Tun Mahathir (Mohamad) sehingga kedua-dua kaum menjadi renggang hubungannya.

“Maka kami terpaksa berkerja untuk menenangkan keadaan dan menangkis segala tohmahan jahat sebab Tionghua marah kepada PH,” katanya.

Ditanya ‘mimpi’ pembangkang untuk mengulangi kemenangan di Tanjung Piai selepas berjaya di tiga PRK lalu, Mohamad berkata, ia menjadi kelaziman setiap parti bertanding mengharapkan kemenangan.

“Kami juga perlu bekerja kuat tapi kami tidak cakap kami menang tapi sedang berusaha ke arah itu kerana memang sekarang ini isu perkauman memang mereka (pembangkang) kuasai sekarang.

“Kami akan turun ke bawah terangkan dasar-dasar kerajaan tapi bukan gerak atas perkauman tetapi kreadibiliti seseorang calon dan pemimpin yang mana pertama kali dalam sejarah melantik seorang bukan Melayu jadi Timbalan Menteri Pertahanan dan kita yakin bekerja sebagai ‘warga Malaysian’,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast