Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebab untuk peladang kelapa sawit mengadakan protes kerana harga sawit sudah naik, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Katanya, harga sawit sudahpun mencecah RM2,500 setan metrik pada bulan lalu dan menyifatkan tindakan mengadakan protes di Parlimen adalah satu tindakan tidak cerdik.

“Saya tidak faham kenapa buat protes. Saya percaya mereka dibawa oleh Ahli Parlimen pembangkang kerana mereka tahu saya akan gulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 dan harga minyak sawit telah naik.

“Saya rasa Ahli Parlimen yang bawa mereka untuk buat protes itu kurang cerdik,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Teresa diminta mengulas mengenai satu demo aman yang dibuat kira-kira 100 peserta protes di hadapan pintu masuk Parlimen hari ini.

Protes itu dianjurkan Pembela Kebajikan Peneroka Dan Pekebun Kecil Pemuda Umno Malaysia (Pertela), Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM) Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) dan NGO-NGO yang mendesak agar Teresa memaklumkan pelan strategik pengukuhan harga sawit, pasaran dan eksport harga sawit.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, harga sawit sudah menunjukkan peningkatan sebanyak RM700 untuk satu tan.

“Kalau buat perbandingan pada Disember tahun lalu, harga minyak sawit adalah RM1,700 satu tan. Sekarang kalau ikut harga di Bursa pada 31 Oktober harga minyak sawit adalah pada RM 2,485. Ini menunjukkan satu peningkatan, lebih kurang RM700 satu metrik tan. Jadi mereka buat protes masa harga naik, saya rasa pelik,” katanya lagi.

Kumpulan itu turut mendesak agar kerajaan memulihkan hubungan diplomasi antara Malaysia dengan negara pengimport sawit, selain merayu peruntukan khusus kepada pekebun kecil sawit dan peneroka diberikan bagi membantu meringankan beban meringankan beban mereka jika harga minyak sawit terus jatuh ke paras terendah. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.