Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan semasa perbahasan pada sidang DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2019

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang masuk hari ketiga hari ini sedikit gamat apabila ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan melahirkan rasa tidak puas hati dengan larangan mengadakan perjumpaan di masjid.

Beliau meminta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin yang mengambil bahagian sesi perbahasan sidang DUN memohon kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar mengkaji semula larangan itu.

Katanya, beliau perlu juga mengadakan perjumpaan di masjid untuk mengeratkan silaturahim antara wakil rakyat dengan penduduknya.

“Kita bukan nak buat perjumpaan politik. Yang selalu gunakan masjid untuk berpolitik ini pihak pembangkang seperti Pas dan UMNO.

“Kita pemimpin kerajaan tidak perlu berpolitik. Perjumpaan kita tidak lebih sebagai wakil rakyat dengan penduduk. Tetapi itu pun dilarang juga,” katanya mencelah perbahasan Hasnul pada sidang Dewan Negeri di sini, hari ini.

Ketegangan berlaku apabila Datuk Mohd Shamsuddin Lias mencelah dengan menyatakan, perjumpaan boleh diadakan di balai raya dan tidak semestinya di masjid.

Kata ADUN Sungai Burong itu, sesiapa sahaja termasuk wakil rakyat perlu patuh kepada titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan agar tidak boleh berkempen atau berpolitik di masjid.

Jelas Mohd Sany, perjumpaan di balai raya tidak mendapatkan kepuasan kerana kapasitinya hanya sekitar 50 hingga 100 orang sahaja, berbanding masjid boleh mencecah lebih 500 kehadiran.

Namun, Hasnul yang perbahasannya terhenti akibat gangguan Mohd Sany dan Mohd Shamsuddin menegaskan arahan dari sultan mesti dipatuhi.

Timbalan Speaker DUN, Dr. Daroyah Alwi kemudian cuba menenangkan keadaan dengan meminta ADUN Morib meneruskan sesi perbahasannya kerana masa sudah hampir tamat. – MalaysiaGazette