PONTIAN – Anggota Pakatan Harapan dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Haji Ismail Batu 35 Kukup membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Urusetia PDM PH berkenaan, Faisal Yunus, 52 berkata, laporan dan seruan siasatan polis ke atas calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai itu menyusul kerana disyaki terlibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan semasa presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menjadi Menteri Pengangkutan pada tahun 2015.
Katanya, laporan polis yang dibuat rakannya yang juga Ketua PDM berkenaan, Mohd Hamdan Hamid 49,adalah berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2017 yang mendakwa Jeck Seng calon BN terlibat dalam pemberian tender secara rundingan langsung tender perlaksanaan sistem permit kemasukan kenderaan (VEP) bernilai hampir RM149.45 juta.
‘”VEP merupakan permit yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan yang membolehkan kenderaan asing memasuki Malaysia bagaimanapun laporan Ketua Audit Negara tahun 2017 itu mendedahkan berlakunya penyelewengan dalam pemberian tender dan kos peralatan bernilai RM4.07 juta tidak dipasang.
“Tender tersebut sepatutnya diserahkan atau diberikan kepada syarikat atau kontraktor yang mempunyai pusingan modal sekurang-kurangnya RM2.3 juta tetapi diberikan kepada Syarikat TCSENS Sdn.Bhd sebelum diberikan kepada dagang NexchangeBerhad (DNEX) yang mempunyai modal sebanyak RM35.54 juta ketika itu yang mempunyai kaitan dengan Jeck Seng,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian petang ini.
Tambahnya, pemberian tender yang dikaitkan dengan Jeck Seng semasa pemerintahan BN perlu disiasat polis kerana nilai projek lebih tinggi berbanding Nilai sebenar.
“Pemberian projek tersebut dianggap tidak telus kerana Liow Tiong Lai dan penerima tender berkenaan Jeck Seng adalah dari parti politik MCA dan tidak menepati syarat syarikat yang sekurang-kurangnya memerlukan pusingan modal sebanyak RM2.3 juta.
“Sehubungan itu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas Jeck Seng dan Tiong Lai oleh polis dan aduan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
“Laporan kami ini adalah berdasarkan dua artikel isu VEP yang dilaporkan dalam dua portal berita tempatan awal tahun ini,” ujarnya.
Faisal mahu calon BN berkenaan menjawab dua artikel berkaitan isu tender VEP itu yang turut disiarkan oleh dua portal berita tempatan dan salah satunya dilaporkan dengan tajuk “Tender VEP: Tiong Lai akan dipanggil PAC” dalam MalaysiaGazette pada 1 Januari 2019.
“Kami mahu Jeck Seng jawab pasal isu VEP ini yang mendedahkan penglibatannya,” katanya.-MalaysiaGazette
…no wonderlah nak taja UMRAH…adik beradik Hj.Mabrul 1MDB juga.