Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Selangor merekodkan kadang mengangguran sebanyak 2.8 peratus sehingga akhir 2018, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, perangkaan itu yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Selangor melibatkan kira-kira 99,600 rakyat Selangor belum mendapat pekerjaan.

Katanya, mengikut pecahan, jumlah itu melibatkan 94,900 kadar pengangguran bandar, manakala 4,700 pengangguran luar bandar.

“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bawah portfolio saya dengan jabatan kerajaan dan agensi Job Street untuk memastikan mahasiswa dan belia menganggur mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan masing-masing.

“Peluang pekerjaan ini berkait rapat dengan usaha yang dilakukan kerajaan negeri dengan menarik pelabur melalui dasar terbuka,” katanya pada sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020, Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, beliau menjangkakan kadar 2.8 peratus akan menurun kepada 2.5 peratus sepanjang tahun 2020 berikutan usaha bersepadu kerajaan negeri menarik masuk projek ke Selangor.

Kata beliau, sebanyak 5,101 projek masuk ke negeri itu yang memberi banyak peluang pekerjaan kepada belia dan pelajar lepasan universiti.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyediakan latihan pendidikan dan vokasional termasuk menawarkan kursus keusahawanan seperti ternakan ikan dan sembelihan halal sebagai internatif pekerjaan. – MalaysiaGazette