Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan,  Dr. Maszlee Malik enggan mengulas lanjut isu ucapan berbaur politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio Kukup Laut baru-baru ini.

Meskipun pengamal media mengulangi soalan itu sebanyak tiga kali, Maszlee sebaliknya menumpukan jawapannya berkisar tentang sumbangan yang diberikan kepada sekolah yang menjadi pertikaian.

Jelasnya, memberi sumbangan merupakan amalan biasa selaku menteri dan timbalan menteri berdasarkan permintaan secara rasmi.

“Begini, bagi menteri-menteri saya rasa biasa menerima surat permohonan bantuan, minta sumbangan daripada (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) PIBG saya sendiri pun setiap pergi ke parlimen macam-macam surat datang (dihantar) ke pejabat dan sebagainya.

“Memang permohonan PIBG bukan sahaja dari Tanjung Piai daripada seluruh negara, mereka nak buat acara, ada yang nak bertanding di luar negara anak muridnya, ada untuk penyelenggaran begitu, begini, hari sukan dan lain-lain lagi.

“Jadi saya kira para menteri memang biasa banyak terima permohonan seperti begitu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu Maszlee diminta mengulas ucapan Datuk Seri Salahuddin Ayub di sebuah sekolah baru-baru ini yang didakwa pembangkang berkisar tentang perkauman dan bersifat rasis.

Namun Ahli Parlimen Simpang Ringgam itu berkata beliau tidak mengetahui tentang isu tersebut, justeru beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya kena dengar perkara itu (ucapan Salahuddin) saya tidak tahu perkara ini nanti saya komen (tapi) saya tidak dengar. Saya kena tengok sendirilah nanti saya silap komen,” ujarnya.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ucapan menerusi video yang dikesan oleh portal UMNO Online menerusi sebuah posting di Facebook perlu disiasat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia telah melanggar Akta Pilihan Raya.-MalaysiaGazette