Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Teknologi digital akan memainkan peranan penting di dalam pencapaian sasaran pembangunan lestari (SDG) meskipun inovasi dijangka mampu menjejaskan progres pencapaian sama ada daripada sisi positif mahupun negatif.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kehadiran teknologi-teknologi baharu dilihat sangat penting di dalam memastikan SDG tercapai kerana ia diperlukan untuk mempercepatkan progress bagi memenuhi sasaran iaitu pada tahun 2030.

Katanya, dengan kadar kepantasan inovasi semasa, banyak peluang dan risiko masih belum dikenal pasti.

Namun ia akan segera muncul sebelum para regulator sempat untuk memberi maklum balas.

“Dengan itu, pendekatan berhati-hati ke arah Revolusi Industri 4.0 adalah perlu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, timbalannya, Mohd. Radzi Md Jidin dan Pengatur Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Stefan Priesner.

Tambah Mahathir, terdapat banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh Malaysia dan negara-negara lain di dunia sebelum mampu mencapai sasaran SDG.

Jelas beliau, antara cabaran terbesar yang menjadi kebimbangan seluruh dunia adalah perubahan iklim yang mula ketara sejak beberapa dekad yang lalu.

Antara perkara lain yang dibimbangi adalah penebangan hutan, pencemaran sumber laut dan sungai serta pengurangan kapasiti pengeluaran makanan.

“Dengan itu, penting untuk kita mencari keseimbangan di antara pertumbuhan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani perubahan iklim, pencemaran alam sekitar dan mengekalkan khazanah asli Malaysia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette