Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor digesa menubuhkan jawatankuasa untuk mengawal selia sungai-sungai khususnya yang membekalkan bekalan air bersih di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata, jawatankuasa itu penting bagi menyelia dan memantau kebersihan sungai tanpa menunggu tindakan diambil hanya ketika pencemaran berlaku.

“Perlunya menubuhkan jawatankuasa yang diketuai oleh seorang ketua untuk menyelia sungai, kita lihat Selangor mempunyai banyak sungai, lantik jawatankuasa yang mana akan memastikan kebersihan sungai-sungai ini.

“Saya akui sudah ada pihak yang bertanggungjawab, namun dengan adanya jawatankuasa di setiap sungai, ia akan jadi lebih berkesan terutamanya dalam soal mengelakkan pencemaran,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Annex hari ini.

Dalam pada itu, Ronnie juga berkata, selain untuk memastikan loji rawatan air terus beroperasi, langkah itu dapat mengindahkan sungai-sungai sebagai tarikan pelancongan dan pengangkutan.

“Mereka akan bertanggungjawab bukan setakat kebersihan namun dari sudut pengindahan sungai.

“Di China sendiri, perkara ini telah dijalankan dan hasilnya amat memberangsangkan dari sudut kebersihan dan keindahan sungai.

“Jadi saya harap Selangor boleh mengikut langkah itu untuk dapat dipraktikkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau tidak menafikan peranan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) namun mereka tidak mempunyai pemantau sepanjang masa.

“Bila ada aduan dan laporan pencemaran sungai, baru agensi ini akan turun untuk ambil tindakan.

“Cadangan saya lebih kepada pemantauan sepanjang sungai utama Selangor bagi membasmi aktiviti pencemaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette