Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya , Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri (tengah) menunjukkan papan tanda balai kebitaan ketika hadir pada Majlis Pembukaan Semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

KUKUP – “Minta perhatian para penumpang, feri pertama dari Balai Tanjung Karimun, Indonesia tiba dan sedang berlabuh di Terminal Kukup”.

Demikian pengumuman rasmi ketibaan feri pertama secara rasmi daripada Indonesia ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang diumumkan ketibaannya tepat 3.25 petang ini.

Selepas tiga bulan sepi ibarat dilanggar garuda – ia mula beroperasi secara rasmi dengan ketibaan puluhan penumpang dari Indonesia menjejak kaki di negara ini dengan penuh teruja pada wajah masing-masing.

Ia sekaligus memberi makna kepada penduduk setempat yang mahu masalah itu ditangani segera sebelum ini oleh kerajaan negeri demi pendapatan masyarakat setempat dan survival pelancongan setempat boleh hidup semula.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal telah merasmikan flag off operasinya dengan menghantar penumpang dari Kukup menaiki feri secara rasmi sekitar 3.30 petang tadi selepas menerima puluhan penumpang dari Indonesia di balai ketibaan terminal berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (dua kanan) bersalaman dan beramah mesra dengan sebahagian penumpang pada Majlis Pembukaan Semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

Bercakap kemudian kepada pemberita dengan nada puas hati, Sahruddin berkata, pihaknya mendapat kebenaran pukul 5 petang semalam dari Indonesia menyatakan kapal daripada Malaysia boleh bertolak dan berlabuh di Tanjung Balai.

“Saya bersyukur dapat dibuka semula dan ia memberi nafas baharu kepada masyarakat setempat dan semua peniaga dan pemain pelancong di sini.

“Hutang syarikat bekas pengendali lama terminal ini dengan kerajaan negeri akan dituntut semula. Hasil hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Indonesia terutama di daerah Tanjung Balai. Alhamdulillah mereka bersetuju membuka terminal ini,” katanya.

Sebahagian penumpang mula membeli tiket selepas terminal tersebut kembali beroperasi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

Tambah beliau, pihaknya mendapat pengesahan Indonesia menerusi WhatsApp pada 5.50 petang semalam.

Malah katanya masalah hutang pengendali lama terminal berkenaan dengan kerajaan Indonesia diserahkan kepada kerajaan jiran itu untuk diuruskan dengan kaedah mereka sendiri.

“Maksud sebenarnya pengendali lama terminal berkenaan sebenarnya berhutang dengan Indonesia dan dengan kerajaan Johor dia berhutang RM3 juta.

“Pengendali feri tidak berhutang dengan kerajaan negeri, pengendali terminal dan feri adalah dua entiti syarikat berbeza dalam isu ini

“Ini antara sebab kita ambil alih dan serahkan kepada Pengurus Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menjadi pengendali sementara terminal ini sehingga pengendali operasi terminal tetap yang baharu ditentukan kelak,” ujarnya.

Menyentuh mengenai jumlah perjalanan sehari, kata beliau, terminal berkenaan akan mengendalikan 9 slot perjalanan sehari secara berfasa.

“Kesemuanya sembilan perjalanan slot tetapi buat masa permulaan lima slot perjalanan feri akan dimasukkan kemudian empat lagi slot perjalanan akan dimasukkan satu persatu secara berperingkat sehingga capai sembilan slot feri.

“Lima slot perjalanan adalah melibatkan pengendali feri sedia ada dan empat lagi akan kita pertimbangkan kepada mereka yang berminat yang mana ramai tampil meluahkan minat menyediakan perkhidmaytan feri di sini.

“Jumlah 20,000 hingga 30,000 penumpang feri sebulan dijangka kembali dengan pengoperasian semula terminal berkenaan dan beberapa penambahbaikan di terminal akan dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelancong tempatan dan antarabangsa,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast