KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan pertuduhan kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang digugurkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bukan suatu kebetulan.
Sebaliknya, menurut naib presidennya, Idris Ahmad, PH gagal mempamerkan integriti pemimpin mereka yang terlibat dengan pelbagai salah laku seperti kes rasuah, rogol, memiliki item kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan sebagainya.
Beliau berkata, kepincangan tindakan Tommy yang dilihat berat sebelah dan berpihak kepada DAP serta PH jelas mempamerkan ketidakadilannya dalam menjalankan tugas sebagai Peguam Negara.
“Apa yang kita lihat hari ini, bukan suatu kebetulan. Selepas seorang demi seorang pertuduhan ke atas pemimpin DAP digugurkan begitu sahaja tanpa menjelaskan sebab musabab.
“Ini membuktikan, tanggungjawab sebagai Peguam Negara itu tidak relevan lagi diberikan kepada beliau.
“Pengguguran kes perbicaraan ADUN DAP, P Gunasekaran yang didapati memiliki item yang berkait dengan LTTE ini sungguh tidak wajar. Di mana letaknya integriti beliau selaku Peguam Negara?” soalnya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, Pas kesal dan kecewa dengan tindakan Tommy yang bertindak mengikut telunjuk DAP biar pun tindakan itu meletakannya sebagai seorang yang tidak berintegriti.
Katanya, dalam keadaan seorang pelajar Melayu ditahan bertahun-tahun di bawah Akta SOSMA kerana memiliki buku militan IS, pemimpin DAP yang memiliki item berkait LTTE pula dibebaskan sewenang-wenangnya.
“Polis antara kumpulan yang bekerja bertungkus-lumus menyelesaikan kes salah laku negara. Namun, apabila kepincangan ini berlaku, nyata hal ini membebankan tugas mereka,” katanya.
Idris turut menyatakan kerajaan PH hari ini umpama cakap tidak serupa bikin di mana sebelum ini mereka mengkritik perjalanan kehakiman negara yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi jelas warna sebenar mereka apabila kini mentadbir negara.
“Rakyat perlu mendesak Tommy segera letak jawatan dan digantikan dengan individu yang lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah demi untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan di negara ini.
“Rakyat sedang menilai taktik kotor DAP ini. Suatu kenyataan di mana rakyat perlu fahami ialah kebiadaban DAP dalam menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi mereka.
“Oleh itu, layaklah mereka menjadi kerajaan sepenggal sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
Sunami sedang membadai system perundangan negara.