KUALA LUMPUR – UMNO yakin pengundi kawasan Parlimen Tanjung Piai tidak akan tertipu lagi oleh Pakatan Harapan (PH) selepas janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) gagal ditunaikan.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sikap kerajaan PH tidak mendengar dan gagal melihat isyarat rakyat juga memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi Tanjung Piai pada 16 November ini.
“Walaupun mereka (pengundi) tidak seronok dengan keadaan politik semasa, mereka tidak akan swing undi kepada calon BN,” katanya dalam ciapan akaun Twitternya, hari ini.
PRK Tanjung Piai 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PH, BN, Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.
PH meletakkan Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66 manakala BN mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, 55, untuk merampas kembali kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU-12 dan PRU- 13.
Turut bertanding, Timbalan Setiausaha Agung Nasional Gerakan yang juga Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38; Presiden Berjasa, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, 56; dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, 49; dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.
Menurut Annuar lagi, apabila kerajaan PH gagal menjaga kebajikan rakyat, pengundi tidak kira bangsa apa sekalipun tidak akan membiarkan diri mereka ditipu lagi. – MalaysiaGazette