Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media khas Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini bersetuju untuk menamatkan konsesi Pharmaniaga Berhad bagi perkhidmatan logistik dan pengedaran ubat-ubatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan berakhir pada 30 November ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas cadangan itu dibentangkan kepada Kabinet, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu bagi membolehkan kerajaan melaksanakan tender terbuka bagi perkhidmatan perubatan itu yang selama ini dimonopoli oleh Pharmaniaga.

“Kontrak konsesi yang akan berakhir 30 November 2019 oleh Pharmaniaga ini telah saya bentangkan kepada Kabinet pagi tadi.

“Kerajaan telah bersetuju untuk tidak meneruskan konsesi yang lama itu dan akan meneruskan untuk membuka tender terbuka dalam pemberian konsesi yang dibuka kepada pembida,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Konsesi Pharmaniaga untuk membeli, menyimpan, membekal dan mengedarkan sekurang-kurangnya 700 produk farmaseutikal pada senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) akan tamat menjelang 30 November ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly juga berkata, Pharmaniaga hanya diberikan tempoh interim sehingga 25 bulan perkhidmatan sama bagi memastikan tiada gangguan kepada bekalan dan pengedaran ubat-ubatan.

Jelasnya, tempoh itu bagi memastikan KKM bersedia untuk mengambil alih sebahagian daripada tugas syarikat farmaseutikal itu dalam pengedaran ubat-ubatan.

“Dari sudut pengedaran, kerajaan telah bersetuju untuk memberi tempoh interim selama 25 bulan atau sehingga Disember 2021.

“Langkah itu supaya tidak ada gangguan kepada pembekalan ubat-ubatan dan pengedarannya,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan telah bersetuju untuk membuat tender terbuka dan pembina yang berjaya akan diberikan kontrak 5 tahun perkhidmatan.

“Semua layak masuk dalam tender terbuka dan bida termasuk Pharmaniaga, sudah pasti orang akan kata syarikat itu mempunyai keupayaan itu tertakluk kepada tender,” katanya lagi. – MalaysiaGazette