Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid berucap pada Forum Ekonomi Belia 2019 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia hanya membayar gaji yang tinggi kepada ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) sedangkan kumpulan pelaksana dan sokongan pula dibayar gaji yang rendah.

Menurut Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid, bersandarkan kiraan nisbah upah penengah dan upah tertinggi gaji CEO di beberapa syarikat di Malaysia, gaji yang diterima mereka adalah lebih tinggi berbanding syarikat di Hong Kong atau Singapura.

Tambahnya, terdapat syarikat yang membayar gaji yang tinggi kepada CEO meskipun kadar keuntungan atau perolehan syarikat hanyalah biasa sahaja.

Jelasnya, perkara sebegini tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Lebih baik jika wang tersebut kita gunakan untuk membayar jururawat-jururawat, tentera atau pekerja-pekerja bergaji rendah.

“Dari segi justifikasi ekonomi, itu lebih baik.

“Seringgit yang diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah adalah lebih baik kepada pertumbuhan ekonomi berbanding seringgit yang diberikan kepada CEO.

“Ini kerana golongan berpendapatan rendah akan berbelanja dengan menggunakan wang tersebut, sekali gus meningkatkan penggunaan domestik berbanding wang yang diberikan kepada CEO.

“Mereka akan pergi UK (untuk bercuti atau membeli-belah) atau mereka akan menyimpan.

“Wang di tangan si miskin adalah lebih baik kepada pertumbuhan ekonomi berbanding wang di tangan orang lain (CEO/golongan kaya) kerana mereka banyak berbelanja di luar negara,” katanya semasa menjadi salah seorang panelis di sesi Agenda Ekonomi “Perhatikan Jurang: Berubah Ke arah Kemakmuran Bersama” sempena Forum Ekonomi Belia di sini hari ini.

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan sebelum ini dengan merujuk kepada laporan kewangan tahunan syarikat pada 2017, CEO Genting Bhd., Tan Sri Lim Kok Thay menerima gaji tertinggi sebanyak RM130.3 juta (termasuk bonus) setahun.

Beliau juga menerima manfaat bernilai RM2 juta dan imbuhan lain sebanyak RM35.1 juta menjadikan jumlah pendapatannya pada tahun itu adalah RM168 juta.

Di tempat kedua adalah CEO Public Bank Bhd, Tan Sri Tay Ah Lek yang mendapat gaji sebanyak RM9.86 juta setahun.

Beliau turut mendapat bonus sebanyak RM15.98 juta dan manfaat sebanyak RM28,000 setahun, menjadikan pendapatan tahunannya sebanyak RM27.84 juta.

Dalam sesi yang sama, Dr. Muhammed sekali lagi menegaskan tindakan mengurangkan cukai untuk merangsang ekonomi negara adalah sesuatu yang tidak bijak.

Katanya, cadangan sesetengah pihak yang mahukan cukai dikurangkan supaya dapat mengalakkan peluang pekerjaan juga tidak munasabah.- MalaysiaGazette