Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Golongan ibu bapa perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum memilih sesebuah sekolah tahfiz untuk anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, selain pihak berkuasa, peranan masyarakat sekeliling turut dapat membantu memantau insiden yang tidak diingini berlaku di pusat tersebut.

Beliau menegaskan dengan cara demikian insiden penderaan di pusat tahfiz dapat ditangani secara berkesan pada masa akan datang.

“Ibu bapa perlu periksa dahulu pusat tahfiz sebelum masuk anak mereka sama ada berdaftar dan dalam keadaan elok.

“Kerajaan sentiasa meningkatkan pemantauan di pusat-pusat tahfiz namun peranan orang sekeliling juga dapat membantu dalam menangani insiden di pusat tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut berangkat menyempurnakan majlis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Wan Azizah diminta mengulas tindakan ke atas Madrasah Nahdhah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kuang, Lanchang dekat Temerloh, Pahang yang diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran dan hanya mempunyai seorang tenaga pengajar yang diragui kelayakan.

Tindakan itu diputuskan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang melakukan semakan ke atas pusat terbabit selepas insiden kematian seorang pelajar dipercayai dipukul, kelmarin.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahib Wan Hassan berkata, arahan dikeluarkan selepas pihaknya mendapati pusat tahfiz terbabit tidak berdaftar dan tiada permohonan dibuat bagi menjalankan operasi sejak Januari lalu.

Wan Azizah menambah, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan kerana isu itu melibatkan hal kebajikan, agama dan pendidikan.

“Kita hendak ketatkan penguatkuasaan dan masyarakat boleh memberi laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama, dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul.

Wan Abdul Wahib berkata, pusat tahfiz terbabit mempunyai 14 pelajar berusia antara tujuh hingga 14 tahun dengan seorang tenaga pengajar yang diragui pelantikannya sama ada mempunyai kelayakan mengajar atau sebaliknya. – MalaysiaGazette