Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof (tengah) bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (tiga kiri) beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Program Kenduri Ukhwah Kampung Tenggayun sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di PDM Tenggayun, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mahu memutihkan atau memerahkan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tenggayun yang suatu ketika dulu merupakan kawasan hitam Barisan Nasional (BN).

Dengan langkah itu, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini berpeluang memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16 November ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, kawasan itu yang merupakan antara 16 PDM yang PH kalah pada PRU14 lalu.

Tetapi kini berpotensi menang sekiranya jentera PH di setiap saluran itu boleh bantu memberikan maklumat tepat dasar pembaharuan dan tadbir urus yang dibawah PH dalam 18 bulan ini.

“Saya rasa semangat hari ini sebab saya boleh rasakan rakyat mula memahami cara kita nak mentadbir urus walaupun ada orang belum memahami kerana masih dukung budaya yang lepas dan dihimpit membawa bebanan yang lama.

“Apabila ada saluran yang ada boleh membantu beri maklumat tepat cara kita tadbir urus, ini boleh mengembalikan ataupun membawa sokongan padu dari orang Melayu. saya tak mahu nak pertengahkan perkauman, tetapi hakikatnya itulah dia .

“Hari ini ramai orang Melayu tidak mahu mendengar maklumat yang tepat dan saya nasihati jentera yang ada di sini apakah pendekatan yang kita bawa dari segi penambahbaikan mentadbir urus kerajaan.

“Saya yakin dengan mereka 100 peratus tapi kena kerja keras untuk memastikan orang Melayu memahami perjuangan PH dan  ketepikan segala pendapat negatif bila sebut sahaja Pakatan Harapan dan angkat Karmaine sebagai wakil kita nanti,” katanya kepada pemberita di Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Tenggayun di sini.

Diminta mengulas mengenai kenyataan bekas  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa pembukaan tergesa-gesa terminal feri antarabangsa Kukup tidak menunjukkan prestasi tinggi PH, katanya, beliau kena kaji dahulu kenyataan yang dikeluarkan bekas Menteri Besar Johor itu,

Jelas beliau, kerajaan PH merupakan satu kerajaan yang memahami dan membentuk polisi berdasarkan realiti keadaan sekelilingnya.

Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat kerajaan PH akan mempunyai kebaikan dan keburukan.

“Tidak semestinya semua keputusan yang kita buat itu melambangkan 100 peratus kebaikan dan kita kena terima hakikat bahawa kita (manusia realistik) satu kerajaan yang memahami dan membentuk dasar ikut keadaan sekeliling.

“Sekiranya ada kekurangan kita akan terima dan menambah baik supaya lebih baik dan apa sahaja baik buruk yang dibangkitkan kita sedia mengkaji dan menambah baik jika itu yang diperlukan,” katanya.-MalaysiaGazette