Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kemuliaan dan kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW wajar diteladani dan diikuti generasi masa ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dalam konteks Malaysia, corak pemerintahan yang diamalkan Baginda boleh dijadikan suri tauladan yang utama dalam pembentukan perpaduan rakyat.

Titah Seri Paduka, bagi membentuk keharmonian, antara perkara utama yang ditekankan oleh Baginda Rasulullah ialah sifat kasih-sayang sesama manusia dan semua makhluk di bumi ini.

“Baginda juga tidak melupai dan sentiasa menyantuni golongan
kurang berkemampuan dan lemah.

“Ini bagi membolehkan mereka agar dapat bangkit meningkatkan potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” titah Al-Sultan Abdullah.

Baginda bertitah demikian pada Majlis sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut berangkat menyempurnakan majlis, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Rasulullah SAW juga telah menunjukkan kepada masyarakat satu resepi yang utama dalam mentadbir sebuah negara yang berbilang agama dan bangsa.

Titah Seri Paduka, ini jelas dilihat bila mana rakyat Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam, Kristian dan Yahudi telah berjaya disatukan di bawah pengurusan dan pentadbiran yang berpandukan kepada toleransi dan syariat Islam.

“Sebenarnya agama Islam menitik-berat persaudaraan sejagat dan menuntut keadilan bagi semua tanpa mengira agama dan bangsa.

“Melalui pendekatan ini hak individu dan masyarakat sama ada yang beragama Islam mahupun sebaliknya akan sentiasa terpelihara.

“Inilah merupakan pengajaran yang maha agung yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan oleh pemimpin dan generasi masa kini.

“Resepi perpaduan dan keharmonian ialah rasa hormat menghormati serta sayang-menyayangi antara satu dengan lain dan keadilan berteraskan kepada syarikat Islam,” titah Agong. – MalaysiaGazette