Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) setuju semua sekolah tahfiz di seluruh negara didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan kerana pendidikan merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 13 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, 4,000 Sekolah Agama telah berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan anggaran 200 lagi yang belum berdaftar.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, pendaftaran sekolah-sekolah tahfiz itu membolehkan peraturan, kualiti pendidikan dan keselamatan dipantau.

Menurutnya, pemantauan sekolah agama bukanlah sesuatu yang baharu kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telahpun berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama diminta bertanggungjawab untuk memastikan tiada kanak-kanak didera di sekolah dan di mana-mana institusi pendidikan kerana ia seharusnya menjadi ruang yang selamat, di mana hak kanak-kanak dilindungi dan dihormati,” katanya yang melahirkan rasa bimbang atas kematian seorang kanak-kanak lelaki di sebuah sekolah tahfiz di Pahang.

Noor Aziah juga berharap agar siasatan yang menyeluruh lagi terperinci dapat dijalankan terhadap kematian pelajar tahfiz berumur tujuh tahun itu. – MalaysiaGazette