PONTIAN – Cadangan DAP mahu melantik Liew Chin Tong sebagai wakil masyarakat Cina di Parlimen Tanjung Piai sekiranya Karmaine Sardini menang pada pilihan raya kecil kali ini tidak bermakna calon Pakatan Harapan itu tidak berkemampuan menjaga kebajikan komuniti Cina.
Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, sebenarnya cadangan pelantikan itu kaedah efisien untuk membantu Karmaine supaya mudah mendekati dan memahami permasalahan dan diikuti penyelesaian.
Katanya, Wee Jeck Seng yang merupakan calon Barisan Nasional jika dipilih menjadi ahli Parlimen tidak boleh buat apa-apa dan kalau 20 tahun lalu, pemuda Tanjung Piai terpaksa berhijrah keluar untuk bekerja di tempat lain.
“Ini bermakna kawasan Pontian dan Tanjung Piai kekangan pekerjaan termasuk gaji tak mencukupi yang tidak pernah diselesaikan.
“Kalau Karmaine menang, saya akan bersama beliau dan kerajaan negeri dan Pusat boleh membantu supaya mengubah jadi kawasan menarik mewujudkan peluang pekerjaan untuk pemuda.
“Saya akan bantu sebagai Pengerusi DAP Johor begitu juga seluruh Johor dan Pusat, itu tidak bermakna dia tidak berupaya membela kebajikan Cina, Itu hanya disalahfahamkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah kelompok PH di Pontian bersama masyarakat Cina mala tadi.
Cadangan melantik Chin Tong sebagai wakil masyarakat Cina untuk Karmaine dilontarkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu ceramah di sini kelmarin. – MalaysiaGazette