Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian penduduk pada Program Sarapan Pagi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kopitiam Kheng Guan Hiong, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerah sepenuhnya kepada mahkamah berhubung keputusan pendakwaan bagi tujuh pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya.

Beliau berkata, tidak ada apa yang boleh diperkatakan selain menunggu keputusan yang akan didengar esok.

“Tiada apa-apa, kita tunggu sajalah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas bersarapan pagi bersama orang ramai di sini hari ini.

Najib ditanya wartawan mengenai persiapannya menjelang keputusan terhadap kes yang dihadapinya itu.

Hadir sama menemani Najib calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan akhir pendakwaan terhadap ahli Parlimen Pekan esok berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 23 Oktober lalu.

Thomas menutup kes pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi selesai mendengar keterangan 57 saksi, antaranya membabitkan pegawai kanan Ambank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan SRC.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Prosiding yang mendapat perhatian seluruh dunia itu bermula pada 3 April lalu dengan mendengar keterangan saksi pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini, Najib yang kini popular dengan gelaran ‘Bosku’ optimis Barisan Nasional akan memenangi semula kerusi Parlimen tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi Cina selepas melihat sendiri situasi berdasarkan tinjauannya terhadap kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dihadirinya.

“Tapi kita kena teruskan usaha kita sampai habis,” ujarnya.

Dalam pada itu Najib memberitahu, beliau akan datang semula pada 14 atau 15 November nanti untuk membantu kempen Jeck Seng sehingga akhir tarikh masa untuk berkempen pada pilihan raya itu.

“Ada, Insyaallah 14 hingga 15 saya datang semula,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast