Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (dua kiri) bersama Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong (tiga kanan), Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan (dua kanan), Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam (kiri) dan calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng (tengah) bergambar sambil mengangkat tangan pada Ceramah Pemuda Muafakat Nasional bagi membantu sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai Jalan Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang sudah masuk gear lima menyaksikan gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) kini semakin intim hubungannya dengan Pas.

Menerusi pentas ceramah Port Orang Muda yang diadakan di sini malam tadi, Pemuda MCA dan MIC menunjukkan keyakinan bahawa kerjasama yang dimeterai melalui Piagam Muafakat Nasional bersama Pas mampu menguatkan perpaduan dalam barisan pembangkang sekaligus mampu menakluki semula Putrajaya.

Malah, orang muda turut diseru agar mengembalikan kuasa kepada pemerintah terdahulu dengan memberikan sokongan mereka pada PRK berkenaan supaya negara ini dapat diteraju dengan luhur tidak seperti sekarang ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa perlu dikembalikan kepada BN kerana hanya parti itu yang mampu meyatupadukan masyarakat di negara ini dengan penuh kesejahteraan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Katanya, meskipun kerajaan pada hari ini mempunyai seorang menteri perpaduan namun, hakikatnya keharmonian itu tidak dapat dilihat apabila wujudnya pelbagai isu melibatkan perkara-perkara rasis yang ditimbulkan oleh DAP yang merupakan parti dalam kerajaan.

Tambah beliau, meskipun ada beberapa kelemahan yang terdapat kepada kerajaan sebelum ini namun, ianya boleh diperhalusi untuk diperbaiki.

“Kita ada Kelemahan, kita ada kepincangan, kita ada kekurangan. Mana ada kerajaan yang sempurna atas dunia ini.

“Apatah lagi kalau kerajaan itu adalah kerajaan yang diketuai oleh manusia bukannya malaikat.

“Kalau nama manusia pasti ada kelemahan, pasti melakukan kesilapan,” katanya ketika berceramah bersama pengundi muda di Kampung Pasir di sini malam tadi.

Ketua Pemuda MIC, R Thinalan pula berkata, menerusi Muafakat Nasional, orang Melayu, India, Cina boleh berkongsi pentas dan bercakap tentang isu-isu yang boleh memberi kesan kepada pengundi tanpa memainkan isu-isu perkauman sebagaimana yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan

“Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan atau bersifat rasis dengan mana-mana kaum, baik India, Cina dan pelbagai lagi.

“Sekarang ini kita sudah bersama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional dan ini membuktikan jalinan kerjasama yang diadakan akan menguatkan lagi masyarakat serta perpaduan kaum.

Di pentas sama, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong melahirkan pendapat bahawa, konsep Muafakat Nasional merupakan perkara baik buat pembangkang dalam usaha menuju ke arah yang lebih baik.

Ujarnya, rakyat tidak wajar untuk ditakut-takutkan dengan agenda-agenda tertentu sebagaimana yang diungkapkan oleh sesetengah pemimpin kerajaan hari ini kerana perbuatan itu hanya akan menimbulkan ketegangan serta tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong

Sementara itu, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam menggesa umat Islam mendoakan kemenangan calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng pada PRK Tanjung Piai.

“Saya minta tolong sikit je, lepas balik dari penat berkempen ni ambil wuduk kejap, duduk atas tikar sembahayang duduk je, jangan tidur.

“Kalau kuat solat hajat dua rakaat, doa supaya Allah taala beri kemenangan kepada orang yang berjuang untuk keadilan rakyat,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam

Beliau turut menzahirkan sokongan penuh Pemuda PAS terhadap Jeck Seng.

Minggu lalu, Pesiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berkempen pada PRK Tanjung Piai dengan menyampaikan amanatnya menerusi ceramah perdana yang turut disertai Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam ucapannya, Hadi menyeru pengundi Tanjung Piai supaya memberikan sokongan kepada Jeck Seng sebagai langkah menunjukkan kepada masyarakat bahawa Gagasan Sejahtera dan BN mampu bersatu di bawah payung Muafakat Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast