Bernardo Silva. Foto Sky Sports

LONDON – Bintang tengah Manchester City, Bernardo Silva digantung satu perlawanan sebagai hukuman susulan ciapan berbaur perkauman yang dilakukan September lalu, lapor The Guardian.

Persatuan Bola Sepak England (FA) mendakwa Silva pada awal bulan lalu dan pemain Portugal itu mengaku bersalah telah melanggar Peraturan E3.

Gara-gara hukuman itu, Silva, 25, bakal terlepas aksi City di laman sendiri menentang Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan dia turut dikenakan denda GBP50,000 (RM266,634) serta perlu menghadiri kelas pendidikan.

Bekas pemain Monaco itu meletakkan ciapan sebelum memadamkan iaitu gambar rakan sepasukannya, Benjamin Mendy  sewaktu kecil bersebelahan foto gula-gula Sepanyol, Conguitos sehingga mengundang kritikan.

Selepas dakwaan dikenakan terhadap Silva, Mendy menulis sepucuk surat mempertahankan rakan karibnya itu dan menegaskan dia tidak mengambil hati dengan insiden tersebut.

Silva diundi sebagai pemain terbaik City musim 2018-19 selepas mereka melengkapkan tiga kejuaraan domestik sebelum menyinar sewaktu Portugal memenangi edisi sulung Liga Negara-Negara Eropah.

Dia menjaringkan gol kelima dalam Liga Perdana Inggeris musim ini sewaktu tewas 3-1 di tangan pendahulu, Liverpool, di Anfield, hujung minggu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast