Pemain Malaysia, Brendan Gan meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menghadiahkan mimpi ngeri buat Thailand apabila menewaskan jaguh Asia Tenggara itu pada perlawanan bola sepak Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini.

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia membuktikan ranking ke-158 dunia bukan penghalang untuk menjinakkan skuad Gajah Perang yang kini di kedudukan 109 dunia.

Beraksi di depan 39,363 penyokong, anak buah Tan Cheng Hoe bermula perlahan apabila seolah-olah membiarkan skuad kendalian Akira Nishino menguasai permainan dengan tempo laju.

Pelawat seperti mengesahkan reputasi hebat mereka apabila mendapat gol pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi Chanathip Songkrasin.

Namun gol itu tidak melemahkan semangat Malaysia sebaliknya memberi kejutan untuk bangkit melakukan serangan dan mendapat gol penyamaan oleh Brendan Gan pada minit ke-26.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga akhir babak pertama.

Bersambung di babak kedua, barisan serangan Malaysia menerusi Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid mula mengasak ke kubu Thailand untuk menambah gol.

Usaha itu berhasil apabila tendangan padu Sumareh yang merupakan pemain naturalisasi dari Gambia menggegar palang gol lawan sebelum menerjah ke jaring.

Gol itu memberi tonik kepada Malaysia yang terus membuat serangan bertalu namun gagal menemui sentuhan penyudah.

Bagi menambah bisa, Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid dan Afiq Fazail namun percubaan demi percubaan gagal mencari gol ketiga.

Pada masa sama, benteng pertahanan yang diketuai oleh Aidil Zafuan Abd Radzak yang juga sebagai kapten kebal mempertahan gawang bagi menghadiahkan kemenangan bermakna buat Malaysia.

Harimau Malaya kini mencatat dua kemenangan selepas Indonesia dalam aksi pembukaan kumpulan serta tewas kepada UAE dan Vietnam.

Thailand pula kekal mengumpul tujuh mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Vietnam dalam perlawanan pertama, seterusnya menang bergaya ke atas Indonesia dan UAE dalam dua perlawanan berikutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast