PEKAN NANAS – Malaysia akan menuntut penjelasan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutan Amerika Syarikat (FAA) mengenai penurunan penarafan keselamatan ruang udara negara ke Kategori 2 baru baru ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masalah itu akan diatasi menerusi perbincangan dengan pihak berkuasa tersebut.
“Kita nak tahu apa sebenarnya maksud turun taraf itu, apa kesannya dan kita akan atasi, kalau dia kata tak cengkam dan sebagainya.
“Penting untuk kita nak tahu apa sebab ia dibuat dan kita boleh memperbaiki keadaannya, kita nak tahu juga dia yang buat keputusan itu.
“Dia tak tanya kita apa sebab, (kita) cari jalan untuk betulkan semula (keselamatan ruang udara),” katanya dalam sidang media Majlis Sarapan pagi Perdana menteri bersama Badan Bukan Kerajaan Parlimen Tanjung Piai menjelang Pilihan Raya Kecil 16 November ini di Warung 800 di sini pagi ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Amerika Syarikat menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia ke Katehori 2 daripada Kategori 1.
Dr. Mahathir berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan antara 20 lapangan terbang terbesar dunia dan Malaysia Airports Holding Bhd. juga diberi kepercayaan menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul Turki yang menguruskan 31 juta penumpang setahun.
“Bayangkan lapangan terbang itu diuruskan orang kita dan sekarang pun ada jemputan negara lain untuk lapangan terbang terkemuka beberapa negara dalam aspek keselamatan supaya selamat untuk orang kita yang kini dipertikai Amerika Syarikat.
“Selain itu juruterbang kita diterima bulat-bulat oleh Indonesia, China dan orang Arab dan jadi terkenal sebagai orang yang berkebolehan.
“Orang kita sebenarnya bekerja di luar negara bukan sebagai pelayan dalam rumah tetapi kerjaya profesional seperti juruterbang, jurutera, arkitek dan macam-macam lagi bekerja sebagai profesional dan dihormati selain gaji mereka sama dengan gaji profesional di Eropah,” katanya. – MalaysiaGazette