Sharul Kamal Mustafa

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin terdesak dalam usahanya menarik sokongan pengundi di Tanjung Piai, ketika tempoh berkempen berbaki satu hari sahaja lagi.

Pemimpin PH yang turun berkempen juga terpaksa mengeluarkan pelbagai kenyataan, termasuk menggugut rakyat seperti ‘tidak akan ada pembangunan jika memilih pembangkang.

Menurut aktivis UMNO yang juga Presiden Kelab Sahabat Media Selangor, Sharul Kamal Mustafa, tindak tanduk PH itu sekali gus menunjukkan mereka kini memohon talian hayat demi untuk beroleh kemenangan kepada calonnya.

“Namun, rakyat yang juga pengundi di kawasan pilihan raya kecil itu sudah lali dan biasa dengan ugutan atau janji terdesak yang dibuat oleh pemimpin PH.

“Daripada apa yang dilihat, baik dari segi kempen atau penerimaan masyarakat pelbagai kaum di Tanjung Piai, Barisan Nasional (BN) lebih ke depan berbanding calon PH, Gerakan dan Bebas.

“Ini ada kemungkinan disebabkan orang lebih mengenali Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Sharul Kamal, rakyat sudah selesa dengan BN, apatah lagi keadaan kerajaan yang ada sekarang tidak mampu memberikan keselesaan kepada mereka.

Beliau menjelaskan, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang kemaraan jentera BN dengan mengatakan kempen dari rumah ke rumah memerlukan permit juga salah satu bukti kerajaan PH sudah terdesak.

Selain itu, penggunaan medium media cetak, elektronik dan media sosial dilihat semakin giat dilakukan mereka untuk mendapatkan sokongan seramai mungkin.

“Malam tadi PH terpaksa menggunakan khidmat Perdana Menteri datang membantu kempen dengan cara mengeluarkan amanat kepada rakyat di Tanjung Piai, yang mana ianya tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Namun, pengundi Tanjung Piai bukanlah bodoh seperti mana PH sangkakan, mereka kini sudah sedar kerajaan BN selama memerintah banyak memberikan manfaat kepada rakyat berbanding PH,” katanya. – MalaysiaGazette