Yahaya Mat Ghani @ Abbas

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Batu boleh diadakan sekiranya apa yang berlaku kepada Parlimen Port Dickson diterima pakai.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani @ Abbas berkata, jika Ahli Parlimen Port Dickson ketika itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah boleh mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenapa tidak boleh berulang di Parlimen Batu.

“Kita sudah jangkakan apabila mahkamah memutuskan Tian Chua layak bertanding, akan ada gerakan dari pihak tertentu untuk menolak dan mendesak Ahli Parlimen Batu sekarang, P Prabakaran mengosongkan kerusi.

“Perlu diingat, Tian Chua adalah Naib Presiden PKR, seorang pemimpin kanan dalam parti itu. Sudah tentu akan diberikan perhatian serius untuk menyelamatkan karier politiknya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam, yang mencadangkan supaya P Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh SPR adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Wakil Gabungan NGO Parlimen Batu, Mohd Helmie Mohamad Arof dilaporkan berkata, pada PRU14, Tian Chua dan PKR memberikan perakuan dan sokongan kepada Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas.

Menurut Yahaya, sebaik mahkamah membuat keputusan itu, beliau menerima banyak pertanyaan dari ahli UMNO di kawasan berkenaan yang bertanya sama ada boleh atau tidak PRK diadakan.

“Saya jawab boleh. Dengan situasi dan pengamatan yang kami nilai dari sudut politik iaitu jika PKR boleh suruh Ahli Parlimen Port Dickson lepaskan jawatan untuk berikan laluan kepadanya, kenapa tidak di Parlimen Batu.

“Cuma pendirian UMNO Bahagian Batu berhubung isu ini, buat masa ini kami hendak fokus kepada membela rakyat dan menentang dasar ‘draconion’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan rakyat terutama di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Ini lebih penting kerana rakyat perlukan pembelaan untuk menentang kebobrokan ini,” katanya.

Beliau berkata, biarlah PKR bergaduh sesama sendiri yang lebih kemaruk kuasa dan jawatan dari memberi tumpuan kebajikan serta perkhidmatan kepada rakyat kawasan Batu.

Tetapi tegasnya, sekiranya benar berlaku PKR, UMNO Bahagian sentiasa bersiada dan tetap lawan. – MalaysiaGazette