Bendera PKR..

KUALA LUMPUR – Seramai 20 Ketua Cabang PKR Sarawak menempelak sikap pemimpin negeri itu yang mahu menangguhkan konvensyen parti hanya kerana pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi kenyataan bersama, ketua-ketua cabang itu berkata, protes sebegitu tidak wajar kerana perjuangan parti hanya akan diteruskan dengan sokongan padu yang diberikan ahli kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah mereka, pendirian pemimpin yang mahu kongres peringkat negeri itu ditangguhkan simbolik kepada penolakan terhadap suara akar umbi.

Jurteru mewakili kesemua cabang, Joshua Jabeng (Selangau), Piee Ling (Batang Sadong), Michael Teo (Miri) dan Larry Sng (Julau) menyokong keputusan yang diumum oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad petang tadi.

“Adalah angkuh bagi sesetengah pemimpin yang ingin menangguhkannya sebagai protes kepada pembatalan jemputan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagi merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Perjuangan parti hanya dapat diteruskan dengan berdiri teguh di belakang Presiden kita Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ramai ahli-ahli sudah pun melakukan persiapan bagi menantikan mesej dari pemimpin-pemimpin dari pusat dan adalah zalim sekiranya hasrat akar umbi ditolak semata-mata kerana ada pemimpin yang tersinggung dan ingin mempolitikkannya,”kata mereka menerusi kenyataan.

Nik Nazmi selaku Pengarah Konvensyen-Konvensyen Negeri keadilan dan Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan menerusi kenyataan berkata Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak tetap diteruskan walaupun ada suara mendakwa ia membelakangkan Mohamed Azmin.

Menurut Nik Nazmi, kelewatan Mohamed Azmin memberi respon selepas diberi masa enam minggu daripada tarikh jemputan rasmi iaitu 11 September 2019 turut menjadi faktor penukaran perasmi berlaku.

Terdahulu dilaporkan jemputan untuk Azmin merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dibatalkan.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak yang meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut dalam pada itu mendesak agar kongres yang sepatutnya diadakan pada 23 November ini dibatalkan.

Azmin pula menyifatkan pembatalan itu merupakan cubaan menutup mulutnya daripada menegur pimpinan parti itu.-MalaysiaGazette