KUALA LUMPUR – Penjaga gol negara yang juga kapten utama skuad kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias meluahkan rasa bangga dengan aksi cemerlang ditampilkan rakan sepasukan, Mohd. Khairulazhan Mohd Khalid.
Ini selepas Khairul Azhan beraksi cemerlang ketika mengisi slot utama di gawang negara dalam kejayaan Malaysia mengatasi Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Menurut Farizal, tidak kira sesiapa sahaja yang akan berada di gawang tetapi yang penting adalah keutamaan kepada misi pasukan iaitu untuk menang.
“Bagi saya sesiapa pun yang diberi peluang mereka harus jalankan tugas sebaik mungkin. Setiap pemain perlu fokus kepada perlawanan menentang Indonesia selepas ini.
“Perlawanan menentang Indonesia satu perlawanan yang penting bagi kita dan jika menang, peluang (mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023) masih ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK2019) selepas dinobat Penjaga Gol Terbaik pada majlis itu kelmarin.
Mohd. Farizal, 33, digantikan dengan Khairul Azhan sebelum ini dalam dua perlawanan antarabangsa termasuk ketika perlawanan persahabatan menentang Tajikistan dan juga perlawanan kelayakan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand.
Harimau Malaya menang 2-1 ke atas Gajah Perang itu.
Mohd. Farizal yang penjaga Johor Darul Ta’zim menambah, tidak kira sama ada dia saya, Muhammad Haziq Nadzli atau Khairul Azhan, jika diberi peluang mereka harus menjalankan tugas dengan baik.
“Saya berbangga dengan prestasi Yan sekarang dan kami bertiga harus bekerja keras untuk rebut posisi penjaga gol itu,” tambah beliau lagi. – MalaysiaGazette