Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng meraikan kemenangan bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dan PAS selepas beliau diumum menang bagi Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

RIBUT monsun yang mencurah pada hari terakhir kempen di Tanjung Piai, tidak mematahkan semangat jentera parti.

Hingar bingar kempen berterusan, kenderaan menekan hon dan abang-abang bermotosikal menaikkan ibu jari tanda memberi semangat kepada pekerja parti.
Bilik gerakan tidak pernah lengang sepanjang dua minggu.

Dan yang paling jelas, tiada kesunyian yang menyeramkan seperti sebelum mana-mana tsunami melanda.

Berbeza benar dengan malam terakhir berkempen sebelum PRU14 pada 8 Mei tahun lepas, diam sebelum tsunami itu dirasakan hampir di seluruh kawasan dan pusat kempen BN.

Akhirnya pada malam 9 Mei 2018, BN rebah dalam kekalahan yang – jujur cakap – memalukan di PRU14.

Rentetan dari kekalahan yang melumpuhkan itu, di Tanjung Piai beberapa jam sebelum tempoh berkempen tamat – walaupun indikator jelas membayangkan kemenangan untuk BN – dari pucuk pimpinan sampailah ke pekerja parti tiada seorang pun berani berkata dengan pasti bahawa Jeck Seng akan menang.

Kalau cakap pun berani-berani merpati sahaja, langsung tiada keyakinan. Betapa serik mereka dengan penangan rakyat semasa PRU14.

Dalam langkah yang masih pincang menopanh kekalahan PRU14 dan dalam mengamati mesej rakyat di Tanjung Piai, Barisan Nasional – hatta Muafakat Nasional – perlu ingat 5 pengajaran penting dalam mana-mana pilihan raya:

1. Balik kawasan!

Yang ini tiada tolak ansur, jangan sekali-kali mengelat balik kawasan. Rakyat mahu anda jadi mereka, seperti mereka, salah satu dari mereka tanpa beza, barulah anda boleh memahami keluh-kesah kehidupan mereka seharian.

Rakyat tidak peduli samada anda berbeza tahap ekonomi atau latar belakang dengan mereka. Apabila anda diangkat jadi wakil rakyat, anda jadi milik mereka. Permasalahan mereka penting walau sekecil mana, jangan tekan butang snooze terhadap masalah mereka.

Wakil rakyat mesti duduk mendengar, memahami dan bertindak secepat mungkin dalam menyelesaikan masalah rakyat sepanjang penggal.

Setiap orang merasakan diri mereka penting dan sebagai wakil, berilah perasaan itu kepada mereka setiap kali turun kawasan. Dengan cara itu separuh hati pengundi sudah berada dalam tangan anda.

Juga harus dijaga air muka, lenggok bahasa tubuh dan keikhlasan berkhidmat. Itu tiga kombinasi fatal untuk anda terus jadi wakil di penggal akan datang.

Rumah pertama anda sebagai wakil rakyat adalah di pusat khidmat masing-masing, rumah kedua di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, rumah ketiga media sosial masing-masing. Selesai tiga rumah itu, barulah anda boleh bermimpi pulang ke pangkuan keluarga.

2. Muafakat itu berkat

Bertelingkah itu pasti dalam mana-mana organisasi politik. Tetapi di Tanjung Piai, PAS yang pertama menunjukkan jalan bagaimana untuk menjadi orang yang lebih matang dalam berpolitik.

Dari titik mula pilihan raya kecil Tanjung Piai, belum lagi penamaan calon, mereka sudah memberi pendirian tidak berbelah bahagi: siapa sahaja yang diketengahkan oleh BN di Tanjung Piai akan menerima sokongan PAS.

Manakala dalam rumah BN pada mulanya berantakan tentang parti komponen mana lebih layak meletakkan calon.

Cuma bezanya kali ini UMNO dan parti komponen lain tidak menyimpan ralat dalam hati. Perkara bertelingkah tidak dibawa keluar dari rumah. Tiba masa berkempen, sehabis tenaga dan usaha diberi. Hasilnya tambah satu kerusi.

Betapa mahal harga pengajaran di sini, apa pun perbalahan dan perbezaaan dalam parti, selesaikan dahulu sesama sendiri sebelum berdepan dengan rakyat. Rakyat ada banyak masalah lain, dan masalah mereka penting.

Bermuafakatlah dalam tolak ansur, kerana tiada manusia mampu hidup sebagai pulau.

3. Being humble is the new cool

Setiap individu yang berkait dengan parti politik – dari pemimpin, wakil rakyat, ahli parti, pekerja belakang dan depan tabir – perlu mendakap suatu elemen yang tidak pernah ditolak manusia: jadilah seorang yang merendah diri.

Sungguh rendah anda, kerana selepas Allah S.W.T. seluruh dedikasi diberikan untuk melunaskan amanah rakyat. Yang ini juga tidak boleh diambil lebih kurang. Rakyat mungkin boleh lupa apa yang pernah anda beri pada mereka, tetapi rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana anda buat mereka rasa.

Fikirlah rasa yang bagaimana anda mahu berikan pada mereka.

4. Apa yang sementara, apa yang kekal

Isu-isu yang mempengaruhi sentimen pengundi berubah dengan pasang surutnya waktu. Contoh, dalam tempoh 555 hari sejak PRU14, isu berubah dari 1MBD, PTPTN, hutang kerajaan 1 billion, GST, kos sara hidup, membawa kepada masa sekarang ini tetap kos sara hidup (tetapi lebih teruk), penambahan hutang kerajaan (yang sebenar dan bukan seperti dalam kempen PRU14), janji-janji manifesto kerajaan yang hanyut ke laut
tidak boleh diselamatkan lagi.

Isu-isu ini tetap integral terutama sekali ketika berkempen, tetapi ia bersifat sementara.

Apa yang diingat rakyat tetap khidmat wakil mereka di kawasan setempat. Mempunyai pecahan yang seimbang di antara dua faktor ini akan lebih menyakinkan pengundi.

5. Yang boleh menghukum, yang mampu memaafkan hanya satu: Rakyat

Persepsi rakyat dewasa ini dimangkin Internet dan media sosial. Berkempen dan berpolitik masa sekarang tidak sama dengan berkempen dan berpolitik di zaman Guttenberg dan Caxton.

Rakyat membuat keputusan dari jurusan kandungan yang dinamik bukan konvensional. Dan di tangan mereka berpusat dua polar kuasa ektrim: mereka boleh menghukum, mereka juga boleh memaafkan lalu memberi peluang kedua.

Tepuk dada tanya hati, akibatnya tanggung sendiri.

Dalam konteks penulisan sastera nusantara, rakyat itu seperti seorang ibu yang digambarkan oleh Laksmi Pamuntjak: dalam dan menunggu.

Bezanya di sini, rakyat tidak mudah memaafkan seperti seorang ibu. Lakarlah sempadan dengan jelas agar tidak diulang kesalahan masa lampau.

• Elviza Michele Kamal masih menulis, masih percaya.

Kuala Lumpur, November 27, 2019

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast