Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2019

SEPANG – Golongan ulama dinasihatkan bersikap jujur apabila bercakap agar tidak menjadi alat kepentingan kepada pihak lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, golongan itu perlu juga sedia mengkritik dan pada masa sama menerima kritikan.

Jelas beliau, ia bagi mengelak golongan ulama mewajarkan tindakan pemimpin yang menggunakan agama dan kaum untuk melakukan perkara tidak baik.

“Memang terdapat golongan ulama yang mewajarkan pemimpin menggunakan agama dan kaum melakukan perkara tidak baik, yang mana senario ini berlaku di seluruh dunia.

“Malah ada juga golongan ulama yang jadi alat untuk menyokong kewajaran yang dilakukan itu.

“Namun budaya itu masih terkawal lagi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel And Convention Centre KLIA di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Mujahid turut mengingatkan golongan ulama agar tidak bertelagah agar tidak memberi imej negatif kepada masyarakat.

Jelas beliau, pertelagahan di antara ulama akan menyebabkan ummah menjadi mangsa.

Pada masa sama katanya, lebih memburukkan keadaan, tanggapan negatif akan timbul di kalangan bukan Islam kepada golongan itu.

“Malaysia jika mahu menjadi contoh kepada dunia, konsep Rahmatan Lil Alamin yang membawa pentadbiran Islam adalah tepat.

“Ini kerana ia memiliki dasar iaitu Gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang sejajar dengan hak asasi manusia sejagat,” katanya.

Sementara itu, Mulataqa Ulama Asia Tenggara 2019 diadakan bermula semalam selama dua hari.

Majlis anjuran YADIM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu menghimpunkan ulama ulama dan ilmuan Islam pelbagai disiplin dari seluruh Asia Tenggara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast