SHAH ALAM – Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini sebulat suara mempertahankan tradisi Kongres Tahunan sayap parti itu yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Timbalan Ketua AMK Pusat, Muhammad Hilman Idham berkata, keputusan itu mendapat sokongan 132 daripada 196 Ketua AMK Cabang dari seluruh negara.
“Perasmian Kongres Nasional AMK Pusat akan diteruskan mengikut tradisi dan konvensyen di mana ucapan dasar oleh Timbalan Presiden Keadilan bersama-sama dengan Wanita PKR, di MITC Melaka, 5 Disember ini.
“Seluruh pergerakan dan perwakilan AMK di peringkat nasional, cabang dan ranting akan digerak untuk pertahan tradisi dan konvensyen Keadilan,” katanya pada sidang media di Rumah Pemuda, di sini, malam ini.
Sebelum ini, 14 Ketua AMK Negeri menyokong pembatalan jemputan sebagai perasmi kepada Mohamed Azmin mengikut Peraturan Tetap AMK 2014 yang memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan AMK untuk menguruskan sepenuhnya hal ehwal pengurusan Kongres Nasional Tahunan AMK.
Selain itu, 14 pemimpin AMK Negeri itu juga menyokong penuh ketetapan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia pada 20 Oktober 2019 yang memutuskan untuk mengundang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi kongres berkenaan.
Dalam pada itu, Muhammad Hilman memberi jaminan tidak akan berlaku pertembungan antara Mohamed Azmin dan Wan Azizah susulan masing-masing akan membuat perasmian pembukaan dan penutup.
“Kita tetap dengan tradisi parti di mana perasmian pembukaan kongres mesti dilakukan Timbalan Presiden.
“Manakala perancangan PKR Pusat mahu Wan Azizah sebagai perasmi penutup kongres itu nanti,” katanya.
Muhammad Hilman juga berkata, beliau sudah memaklumkan keputusan malam ini kepada Mohamed Azmin sebagai perasmi pembukaan.
“Kita sudah maklum kepada Timbalan Presiden dan beliau sendiri bersetuju dengan pendirian kita,” katanya.
Sementara itu, AMK Pusat dan Cabang yang hadir mesyuarat malam ini juga menyokong pendirian Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak yang mahu menangguhkan Konvensyen Keadilan Negeri itu, hari ini.
Ia sebagai tanda protes terhadap tindakan Setiusaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin sebagai perasmi kedua-dua sayap itu.
“Kami bermuafakat dan bersolidariti dengan kepimpinan MPN Sarawak yang tuntas mempertahankan idealisme dan prinsip perjuangan Keadilan yang luhur.
“Demokrasi, autonomi dan kebebasan bersuara harus dipertahankan oleh setiap kepimpinan dan anggota Keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette