Berdasarkan asas musim terlaras tahunan suku-ke-suku, ekonomi republik ini berkembang 2.1 peratus berbanding penguncupan 2.7 peratus pada suku kedua.
Sektor pembuatan susut 1.7 peratus tahun ke tahun, kadar sederhana berbanding 3.3 peratus pada suku sebelumnya, dipengaruhi oleh kluster elektronik yang berkurangan berikutan penurunan pengeluaran dalam segmen semikonduktor.
Semua kluster lain dalam sektor ini berkembang dalam tempoh suku itu, dengan kluster pembuatan bioperubatan mencatatkan pertumbuhan paling kukuh, menurut MTI dalam kenyataan di sini.
Sektor pembinaan meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun, susulan pengembangan 2.8 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh kerja-kerja pembinaan sektor awam dan swasta.
Sektor perdagangan borong dan runcit menguncup 3.3 peratus tahun ke tahun, meneruskan penurunan 3.5 peratus pada suku kedua.
Dalam sektor ini, segmen perdagangan borong merosot terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam subsegmen jentera, peralatan dan bekalan yang dipengaruhi prestasi lemah eksport elektronik.
Segmen perdagangan runcit juga menyaksikan penurunan berikutan kemerosotan jualan runcit kenderaan motor dan bukan motor.
Sementara itu, sektor pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan pertumbuhan tidak berubah, perlahan daripada pengembangan 2.4 peratus pada suku sebelumnya.
Segmen pengangkutan udara terus mencatat pertumbuhan yang baik didorong pertambahan trafik penumpang udara namun segmen pengangkutan air susut berikutan penurunan jumlah kargo laut yang dikendalikan.
Pertumbuhan dalam sektor penginapan dan perkhidmatan makanan meningkat 2.0 peratus tahun ke tahun, lebih ketara daripada 1.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Segmen penginapan dan perkhidmatan makanan juga mencatatkan pertumbuhan.
Segmen penginapan meningkat seiring dengan pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa, manakala segmen perkhidmatan makanan berkembang dengan disokong jumlah jualan lebih tinggi di kedai makanan segera, restoran dan tempat makan lain.
Sektor maklumat dan komunikasi berkembang 3.4 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada pengembangan 4.1 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan sektor ini diterajui oleh segmen perkhidmatan teknologi maklumat dan perkhidmatan maklumat, yang berkembang susulan permintaan lebih baik terhadap penyelesaian teknologi maklumat.
Sektor kewangan dan insurans berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun, berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada suku kedua, didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap perkhidmatan pemprosesan pembayaran.
Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan perniagaan mencapai 0.9 peratus tahun ke tahun, sedikit lebih pantas daripada 0.8 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh segmen perkhidmatan profesional.
‘Industri perkhidmatan lain’ mencatatkan pertumbuhan 2.8 peratus tahun ke tahun, berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disokong oleh segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial, yang berkembang dengan perluasan kemudahan penjagaan kesihatan.
Bagi baki suku tahun ini, MTI menjangka prestasi sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan seperti perdagangan borong terus suram disebabkan kelembapan berterusan dalam kitaran elektronik global.
Bagaimanapun, sektor seperti pembinaan, maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial dijangka terus mencatat pertumbuhan yang kukuh.
Mengambil kira prestasi ekonomi Singapura pada tiga sukuan pertama tahun ini dan unjuran bagi suku keempat, unjuran pertumbuhan KDNK 2019 Singapura berada pada 0.5 hingga 1.0 peratus.
Bagi tahun depan, ia berkata, pertumbuhan global dijangka menyaksikan kenaikan sederhana, diterajui oleh peningkatan prospek pertumbuhan pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun.
Bagaimanapun, pertumbuhan dalam beberapa pasaran permintaan akhir utama Singapura seperti AS dan China dijangka suram.
Berdasarkan unjuran pertumbuhan bagi pasaran permintaan akhir utama Singapura serta pemulihan yang dijangkakan dalam kitaran elektronik global tahun hadapan, MTI menjangkakan pertumbuhan ekonomi Singapura meningkat secara sederhana pada 2020 berbanding 2019.
Mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, ekonomi republik ini dijangka meningkat pada 0.5 hingga 2.5 peratus bagi 2020. – MalaysiaGazette