Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak di luar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kenderaan motor elektrik (EV) dan Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diberi insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya selaras dengan pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022..- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,028,387 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara bagi tempoh awal Januari sehingga Oktober lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut nilai saman, Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi) Zamakhshari Hanipah berkata saman dikeluarkan itu melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu, sebanyak 275,554 saman (jumlah ini tidak termasuk saman di atas) bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur yang dijalankan di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata dalam operasi bersepadu itu, JPJ memeriksa lebih 2,500 kenderaan.

“Ekoran itu, sebanyak 812 saman dikeluarkan antaranya melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan memasang cermin gelap melebihi had yang ditetapkan.

“Selain itu, dalam operasi ini, 11 lelaki ditahan kerana dipercayai positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Imigresen turut membuat pemeriksaan ke atas 19 warga asing dan menahan lima daripada mereka yang terdiri daripada seorang warga Bangladesh, Indonesia (2), India (1) dan seorang dari Sri Lanka kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Operasi bermula 8 malam itu melibatkan pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Imigresen serta Agensi Antidadah Kebangsaan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast