KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit drama, Michael Ang menyifatkan peraturan baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melarang pelakon muda disolek menjadi tua, sebagai tidak masuk akal.

Katanya, dalam industri filem hari ini, semua pelakon baik yang muda mahupun veteran mendapat pekerjaan berlakon dan tidak ada sesiapa pun dipinggirkan.

“Kepada Finas, pelakon veteran yang kamu kata tidak ada kerja itu siapa? Setahu aku, ramai pelakon veteran dapat kerja (berlakon).

“Aku sendiri selalu ambil Noriah Ghani, Hamidah Wahab dan semua (pelakon veteran) aku ambil. Mereka semua masih ada kerja, tapi apa masalah Finas, adakah mereka terima aduan dari pelakon veteran sudah kehilangan mata pencarian dalam lakonan?,” sola beliau menerusi Instagramnya.

Beliau menjawab kenyataan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac yang dilaporkan berkata, semua stesen penyiaran bersepakat untuk tidak lagi membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama atau telefilem terbitan mereka bermula tahun depan.

Ini katanya, syarat baharu itu dikenakan bertujuan untuk menjaga hak dan kebajikan artis veteran.

Menepis peraturan itu, Micheal Ang memberi contoh, jika watak itu berumur 25 tahun dan kisah ceritanya menjangkau sehingga usia 60 tahun, mustahil ketika berumur 40 tahun pengarah perlu menukarkannya kepada pelakon lain yang lebih veteran supaya nampak tua asli.

“Aku beri kau satu contoh, katakanlah watak itu berumur 25 sampai ke 60 tahun. Aku ambik Syafika berlakon. Dia boleh berlakon sampai umur watak itu 38 tahun, selepas itu katakanlah umur dia dalam watak itu 40 tahun lebih, mestilah kena solek sikit supaya nampak tua, takkan dah umur 48 tahun kau kena tukar pelakon.

“Sudah tentu pelakon Syafika boleh berlakon menjadi orang tua. Kenapa pula tidak boleh? Pada aku, peraturan atau undang-undang yang dia keluarkan itu tak masuk akal.

“Ya, aku  pernah buat satu kesalahan masa buat perubahan watak, aku telah tukar Elis Suriati untuk jadi nenek kepada pelakon Fatah Amin. Itu memang kesalahan aku, aku mengaku. Tapi aku ambil Elis ada sebab. Aku suka lakonannya dan aku tahu Elis boleh bawa watak nenek yang garang, sebab itu aku solek dia jadi tua untuk berlakon sebagai nenek,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika Finas beranggapan pelakon veteran sudah kehilangan mata pencarian, itu kemungkinan disebabkan kekangan bajet bagi sesetengah penerbit.

Kalau bajet mencukupi, kata beliau, penerbit akan mengambil mereka untuk berlakon, sebab bayar kepada pelakon muda yang popular memerlukan kos yang banyak.

Michael turut menjelaskan beberapa kelemahan pelakon veteran ketika di set penggambaran, iaitu tidak boleh bertahan lama terutama ketika menunggu giliran watak.

“Pada aku, bukan semua pelakon veteran boleh berlakun. Ada sesetengahnya nak skrip pun ambil masa, masa nak penggambaran pula ambil masa empat lima jam, selepas itu mula letih.

“Aku sebagai pengarah pun tidak sanggup paksa mereka menunggu di set penggambaran. Kadang-kadang kita sengaja tukar jadual beri peluang mereka pulang dahulu, sebab kita tahu dia penat dan lelah,” katanya.

Beliau berharap, Finas mengkaji semula peraturan itu supaya tidak menimbulkan masalah kepada penerbit dan pengarah drama serta filem. – MalaysiaGazette