Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

SEREMBAN – Akaun Hasil Disatukan kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM0.14 juta kepada RM26.45 juta pada 2018 berbanding RM26.31 juta pada 2017, kata Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Beliau menerusi kenyataan Laporan Ketua Audit Negara di sini berkata menurut laporan itu, pengauditan bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Sembilan 2018 mendapati baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir 2018 berjumlah RM369.30 juta berbanding RM342.85 juta pada akhir 2017.

“Secara keseluruhannya, baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2018 ialah RM687.76 juta, menurun sebanyak RM38.20 juta berbanding RM725.96 juta pada akhir tahun 2017.

“Analisis Audit berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan mendapati kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah stabil,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat persetujuan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini.

Selain itu, Nik Azman berkata laporan itu turut menyebut jumlah hutang awam kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan RM0.78 juta kepada RM936.76 juta berbanding RM937.54 juta pada 2017.

“Tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan negeri pada tahun 2018 ialah RM276.48 juta,” katanya.

Beliau berkata, pengauditan yang dijalankan mendapati penyata berkenaan bagi tahun berakhir 31 Dis 2018 telah diberi Pendapat Tanpa Teguran kerana menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri selain rekod perakaunan diselenggara dengan teratur dan kemas kini.

Sementara itu, beliau berkata setakat 30 Ogos lepas, 10 daripada 14 penyata kewangan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun berakhir 31 Dis, 2018 telah diaudit selaras dengan Seksyen 5(1)(c) Akta Audit 1957.

Katanya, sembilan penyata kewangan merangkumi empat BBN dan lima PBT telah diberikan Pendapat Tanpa Teguran manakala satu penyata kewangan BBN telah diberikan Pendapat Berteguran.

“Satu penyata kewangan iaitu Yayasan Negeri Sembilan dikeluarkan Sijil Audit Berteguran disebabkan sejumlah RM10.40 juta penghutang perdagangan dan penghutang lain Kumpulan pada 31 Dis, 2018 tidak dapat disahkan kerana tiada dokumen sokongan,” katanya.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.