KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Watikah pemasyhuran itu dibacakan dan dipersembahkan kepada baginda oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena dengan majlis konvokesyen ke-35 UIAM yang dijadualkan esok.
“Beta dengan ini mengisytiharkan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, sebagai Ketua Perlembagaan UIAM.
“Semoga Allah memberikan Seri Paduka Baginda segala kemudahan, keberanian dan kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Perkara 23 (1) Perlembagaan UIAM, ketua perlembagaan universiti hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tunku Azizah, dalam titah ucapan baginda berjanji akan mempertahankan dan melindungi falsafah suci, visi dan misi yang termaktub dalam perlembagaan UIAM.
“Sejak sekian lama, beta mengagumi visi dan misi UIAM dan kisah kejayaannya dan beta yakin kejayaan hebat UIAM adalah tanda Barakah daripada Allah yang telah merahmati universiti ini dengan warisannya dalam menggabungkan ilmu dengan sains manusia,” titah baginda.
Tunku Azizah mahu universiti itu mendukung slogannya ‘Leading the Way’ untuk ummah khususnya dan kemanusiaan amnya untuk terus maju dan menyumbang kepada dunia.
“Mari kita semua saling berganding bahu dalam menjadikan Quran sebagai pegangan untuk menjadikan UIAM terus sejahtera demi Allah dan mendoakan universiti ini berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan halangan semasa dan di masa depan,” titah baginda.
Tunku Azizah, 59, merupakan wanita pertama dilantik bagi jawatan itu, menerima watikah pengisytiharan sebagai canselor baharu itu daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas. Pelantikan itu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April, 2019
Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Sultan Pahang kelima, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang mangkat pada 22 Mei lepas.
Turut hadir pada upacara itu ialah Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Presiden UIAM Prof Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan beberapa pemimpin tertinggi universiti itu turut hadir pada upacara itu.
— BERNAMA