Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Samad yang mendakwa isu tender Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berlaku ekoran sabotaj daripada pegawai-pegawai kerajaan di Kementerian Pertanian yang pandai-pandai membuka dan membatalkan tender adalah satu tuduhan yang serius.

Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof dakwaan penjawat awam yang dituduh membuat keputusan tanpa pengetahuan Menteri Pertanian, Datuk Seri Salahudin Ayub juga harus disiasat.

“Ini adalah satu dakwaan serius yang, jika terbukti betul, boleh menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan ini dikenakan tindakan tatatertib.

“Bagaimanapun, jika dakwaan ini tidak betul, maka pegawai-pegawai kerajaan ini perlu dibela bagi mengelakkan mereka dari dijadikan kambing hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kamarul berkata demikan mengulas mengenai kata-kata Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam program Bicara Bersama Menteri yang malam tadi berkata ‘bergerak mengikut arahan daripada pemimpin-pemimpin yang lama untuk menimbulkan masalah’.

Khalid dipercayai berkata demikan dalam siri ceramah di Jalan Datuk Lundang, Kota Bharu, malam tadi.

“Lalu amalan ni 22 tahun dah, tak pernah ditender, tiba-tiba tahun ini saja kerana nak timbulkan isu, tanpa pengetahuan Menteri.

“Pembekalan baja oleh NAFAS ni, tender untuk NAFAS ni, ataupun kontrak untuk NAFAS ni, diambil, dia nak tender, tanpa pengetahuan Menteri. Tiba-tiba bila dah keluar tender, orang dah ambil tender, tiba-tiba dia batalkan tender itu,” Khalid dipetik sebagai berkata.

Justeru itu, Dr Kamarul berkata Khalid perlu mendedahkan nama pegawai itu yang didakwa mensabitkan Salahuddin sebagai Menteri.

“Yang berkuasa membuka dan membatalkan tender ini pastilah pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha Kementerian.

“Semoga ada penjelasan lebih lanjut mengenai identiti pegawai-pegawai kerajaan mahupun proses-proses membuka dan membatalkan tender ini,” katanya.

Semalam, Salahuddin Ayub mengaku menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon tender RM1.4 bilion diberikan kepada Nafas secara rundingan terus.

Katanya, beliau hanya menjalankan tanggungjawab dengan menulis surat sokongan itu pada 7 November untuk membantu Nafas kerana tender tersebut belum dimuktamadkan lagi.

“Ya, saya tulis kepada PM kerana saya tulis itu adalah tanggungjawab saya dan itu adalah proses,” katanya semalam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast