KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai bukan bermakna gabungan itu akan mati.
Lantaran itu, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pembangkang supaya bersedia dengan tindak balas yang lebih ganas menerusi gelombang kedua serangan balas.
“Perhatikan..mereka “regroup”,”re organise”dan menyerang balas…tidak mustahil mereka lebih brutal lagi..,” katanya menerusi Twitter.
Setiausaha Agung UMNO itu menambah, pemimpin politik kerajaan pintu belakang adalah dalam kalangan mereka yang kemaruk kepada pangkat dan kedudukan tanpa peduli kepada dasar dan perjuangan.
Menurutnya, mereka penasaran kalau tiada pangkat.
Lantaran itu, katanya, UMNO menolak pintu belakang kerana pendekatan ini adalah bahaya bagi ummah.
“Kita menolaknya kerana belakang pintu kerajaan sedemikian ada bahaya bagi ummah..kita menolak dasar. Bukan sekadar individu,” katanya lagi.
Justeru, tambah Annuar, UMNO, Pas dan Muafakat Nasional tidak akan menerima umpanan pintu belakang.
“Kita lawan berdepan,tapi secara bertanggungjawab.Kita mahu sebuah pembaharuan tulen,menolak keburukan BN 1.0, menentang PH 1.0. Lambaran baru memenuhi impian rakyat yang tidak kesampaian,” ujar beliau.
Tegasnya, UMNO, Pas dan Muafakat Nasional redha berjuang walau perit, sakit dan susah kerana tiada jalan pintas.
“Hala tuju harus jelas. Kita menolak kerajaan yang zalim. yang tipu rakyat, yang bawa liberalisme, yang perlekeh agama, yang berkompromi dengan socialist dan rasis, yang mahu menghancurkan asas yang kita bina,” tambah beliau. – MalaysiaGazette