NEW DELHI – Seorang guru besar digantung tugas susulan kematian seorang pelajar yang dipatuk ular di dalam bilik darjah.
Rakan-rakan dan ahli keluarga Shehla Sherin mendakwa guru-guru sekolah tersebut tidak memberi melihat kecederaan yang dialami mangsa sebagai kecederaan serius dan gagal membawanya ke hospital.
Kematian murid berusia 10 tahun itu mencetuskan protes besar-besaran di Sulthan Bathery di negeri Kerala.
Susulan itu, guru besar dan penolongnya digantung tugas.
Beberapa saksi memaklumkan mangsa telah mengadu dipatuk ular pada hari Rabu. Ular berkenaan didapati bersembunyi di dalam lubang konkrit lantai bilik darjah tersebut.
Rakan-rakan mangsa mendakwa guru kelas yang juga telah digantung tugas menafikan dakwaan Sherin yang merayu supaya dia diberikan rawatan.
Sherin tidak dibawa ke hospital sehingga dia dibawa pulang oleh bapanya kira-kira sejam kemudian.
Keluarga mangsa mendakwa, mereka membawa Sherin di tiga kemudahan perubatan berbeza untuk mendapatkan rawatan anti-venom sebelum dia meninggal dunia dalam perjalanan untuk ke klinik keempat.
Pegawai-pegawai pendidikan negeri telah mengarahkan sekolah berkenaan diperiksa dan dibersihkan selepas mendapat aduan besar-besaran oleh ibu bapa. – MalaysiaGazette