MANILA – Seorang lelaki British berusia 70 tahun dan isterinya warga tempatan yang diculik di sebuah resort di selatan Filipina pada 4 Oktober lalu diselamatkan Tentera Filipina, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai tentera.
Komander tentera Filipina di Mindanao Barat Leftenan Jeneral Cirilito Sobejan berkata, Allan Arthur Hyrons dan isterinya, Wilma, diculik lelaki bersenjata tidak dikenali di resort milik mereka di bandar Tukur di wilayah Zamboanga del Sur.
Sobejana berkata, pasangan itu diselamatkan sebelum pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada Isnin di sebuah kampung di wilayah Sulu di selatan Filipina.
“Mereka akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan perubatan,” katanya.
Sobejana berkata, tentera Filipina melancarkan operasi menyelamat pada Ahad menyaksikan berlakunya pertempuran antara tentera dan penyokong Abu Sayyaf selama dua hari mengakibatkan enam pengganas maut dan tujuh tentera cedera.
Kumpulan Abu Sayyaf dianggap paling ganas di selatan Filipina, mempunyai kira-kira 400 anggota yang aktif di wilayah Sulu dan Basilan.
Mereka sering melakukan penculikan, serangan bom, menyerang hendap, pembunuhan dan peras ugut. – MalaysiaGazette