KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan menyiasat penularan video sekumpulan babi hutan yang didakwa dibela di sebuah kawasan yang bersebelahan dengan Kondominium Ketumbar Heights, Cheras.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya akan menyiasat perkara ini dengan segera.
Sekiranya benar yang ditular itu, Abdul Kadir berkata, ia merupakan sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Perhilitan akan siasat dahulu, sejauh mana kebenaran yang ada dalam video sebelum keluarkan kenyataan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.
Beliau diminta mengulas video tular yang memaparkan beberapa ekor babi hutan yang didakwa netizen dibela di kawasan perumahan tersebut.
Berdasarkan video berkenaan, kawasan yang dijadikan tempat belaan babi itu hanya bersebelahan pagar dengan kondominium terbabit.
Setakat ini masih tidak dapat dipastikan kesahihan perkara itu.
Dalam video yang berdurasi 48 saat itu, individu yang mendedahkan perkara itu mendakwa lebih kurang 10 ekor babi hutan itu terdapat di kawasan terbabit.
Beliau melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana kedudukan tempat babi itu dibela sangat hampir dengan kediaman awam.
Individu yang merakam video itu kemudian menghampiri tempat babi hutan yang berpagar itu dan bertanya kepada seorang wanita.
Wanita itu berkata, babi hutan yang dibelanya itu tidak menganggu sesiapa.
“Tak kacau” kata wanita itu. – MalaysiaGazette