Young Syefura Othman
Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Alasan Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Datuk Johari Abdul yang ahli parlimen parti kerajaan keletihan kerana sering balik lewat dari persidangan Dewan Rakyat nampaknya mendapat sindiran.

Sindiran itu datang daripada wakil rakyat PH sendiri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman daripada parti DAP.

Menerusi ciapan ditwitternya hari ini beliau yang lebih dikenali sebagai Rara seolah-olah menyindir Johari kerana menggunakan alasan wakil rakyat letih.

“Bagi alasan penat letih sebab tu tak masuk dewan. Apooooo,” tulisnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Johari hari ini bahawa Ahli Parlimen terpaksa keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari antara punca jumlah kehadiran wakil kerajaan tidak memberangsangkan di Dewan Rakyat.

Semalam dilaporkan sidang Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah yang berlarutan lebih 20 minit di antara wakil kerajaan dan pembangkang ketika sesi undian belah bahagi dilakukan bagi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan masalah korum.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian.

Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak bersetuju.

Tidak berpuas hati, pembangkang meminta undian belah bahagi dibuat kali kedua namun keputusan kekal berpihak pada kerajaan apabila 45 wakil rakyat bersetuju untuk RUU itu diluluskan berbanding 28 tidak bersetuju.

Isu Dewan Rakyat tidak cukup korum, khususnya membabitkan Ahli Parlimen kerajaan bukanlah pertama kali berlaku malam tadi, sebaliknya isu itu telah beberapa kali.

Malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis lalu telah menegur sikap sebegitu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli Parlimen mengadu penat balik lewat setiap malam – Johari