Johari Abdul. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sesi Belanjawan 2020 yang sedang melalui proses perbahasan dan penggulungan di Dewan Rakyat sejak Oktober hingga bulan depan menyebabkan kebanyakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan keletihan akibat balik lewat malam setiap hari.

Ketua Whip PKR merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kebanyakan Ahli Parlimen dan ada antara menteri dan timbalan menteri tidak sempat bangun awal pagi kerana kepenatan hingga mengakibatkan masalah tidak cukup kuorum.

Disebabkan itu, ada yang terpaksa bergegas saat akhir ke dalam dewan untuk meluluskan perbelanjaan.

“Lazimnya kalau kamu lihat dalam sesi bajet ini kita balik lewat, selalunya 10.30 malam dan semasa sampai di rumah pukul 12 malam mandi dan tidur pukul 1 pagi sebelum mengucapkan hai kepada isteri dan bangun lewat pagi untuk sesi pagi kerana kepenatan.

“Jadi kita kena bincang dengan Yang DiPertua Dewan Rakyat supaya melihat balik bagaimana Ahli Parlimen boleh mendapat masa berkualiti kerana sekarang agak keletihan dan agak tidak produktif.

“Keduanya ialah mereka dihimpit dengan banyak sangat program pada masa yang sama disebabkan hujung tahun dalam kementerian dan tempat lain yang perlu diberi fokus juga. Memang kita ada jadual tugas tetapi ada yang ikut dan ada yang tidak dapat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau diminta mengulas insiden penggulungan belanjawan 2020 Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat malam tadi yang hampir ditolak apabila kehadiran wakil rakyat PH tidak memuaskan.

Keadaan itu menyebabkan pembangkang secara mengejut memohon undi belah bahagian sebelum berjaya diluluskan dengan 45 undi dari kerajaan dan 28 dari pembangkang yang tidak setuju.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun kebanyakan wakil rakyat PH tidak berada dalam sesi Dewan Rakyat, mereka masih berada dalam radius sama di dalam bangunan Parlimen dan boleh bergegas pada saat akhir untuk mencukupkan kuorum.

“Pengundian diambil malam tadi tapi bagaimanapun kami mampu meluluskan dengan sokongan undi 45 orang dari PH. Mungkin pembangkang BN anggap boleh mengalahkan kami, menolak bajet kerana menyangkakan kami tidak berada di Parlimen.

“Sebenarnya mereka tak nampak kami berada di dalam bangunan Parlimen malam tadi maka tidak perlu risaukan lagi mengenai perkara itu,” sambil mengakui keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan angka kehadiran sepatutnya ramai.

Johari memberitahu,  beliau akan mencari penyelesaian dan berbincang dengan speaker Dewan Rakyat bagaimana untuk berlaku adil kepada semua wakil rakyat di dalam dewan.

“Jika ambil saya sebagai contoh, saya sentiasa jadi orang pertama masuk dewan dan orang terakhir meninggalkan dewan, tetapi saya tidak boleh meneruskan ini secara konsisten untuk tiga tahun akan datang walaupun saya berusia 40 tahun hari ini.

“Maka semuanya ada batasan tetapi tidak mengapa saya akan cuba menyelesaikan perkara berkenaan dengan Speaker nanti untuk memastikan kita tidak berdepan masalah kuorum di dewan semasa perbahasan selepas ini.

“Saya tahu BN akan kekal di dewan sehingga sidang ditangguhkan lewat malam walaupun kami tidak ada dalam dewan tapi ada di luar dewan, inilah yang kami lakukan dulu semasa BN memerintah yang mana sentiasa mengejar mereka.

“Cuma kali ini kami berjaga-jaga dan peka dengan apa yang berlaku di sekeliling dan kami tahu mereka akan memilih ‘serang’ kementerian Pembangunan Wanita kerana ia diwakili Timbalan Perdana Menteri. Tapi bersyukur kami menang malam tadi,” ujarnya.

BACA: Tidak cukup kuorum, Dewan Rakyat kecoh

Ditanya mengenai komen netizen bahawa Ahli Parlimen PH yang mahukan jawatan tetapi tidak mahu pergi dan duduk dalam Dewan Rakyat, katanya, itu satu teguran baik dan media perlu terus menulis komen rakyat.

“Saya jemput anda (media) tulis lagi banyak sebab ini negara bebas bersuara, bukannya seperti saya tidak mahu tulis ini tidak mahu serang ahli Parlimen. Kalau anda rasa sesuatu perlu diperbetulkan, silakan tulis secara bebas.

“Kamu menghabiskan lebih banyak masa di sini dan melihat karakter, kelakuan kami dan pembangkang, maka tulislah demi kebaikan negara dan Parlimen sebab kami bergantung kepada media yang terlalu bebas dan tidak, memihak mana mana pihak.

BACA: Tun M akan panggil ahli Parlimen ponteng sidang Dewan Rakyat

“Kita saling tidak berhutang apa-apa, jadi tulislah apa jua yang dirasakan baik untuk perubahan negara dan kami akan lakukan yang terbaik untuk negara,” tegasnya.

Ditanya sebarang tindakan ke atas wakil rakyat PKR yang tidak ada dalam Dewan Rakyat malam tadi, katanya, beliau akan menulis surat kepada mereka dan meminta penjelasan tentang ketidakhadiran mereka dan mengakui ada sebahagiannya sudah membalas.

“Tetapi saya akan terus mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab mereka hadir ke Parlimen dan sebagai Ketua Whip, saya akan berbincang dengan mereka dan memberi mesej jelas mereka yang tidak terlibat dengan apa apa program di luar negara supaya hadir ke Parlimen.

“Apatah timbalan menteri dan menteri bukan sepanjang masa terikat dengan program rasmi kementerian. Jika anda (ahli-ahli Parlimen) tidak komited dengan program dan tahu kami komited di Parlimen, sila kembali dan sertai sesi perbahasan kerana kita tidak boleh sentiasa bergantung kepada wakil rakyat sama di sidang dewan kerana kami pun penat juga,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Kalau cita-cita nak jadi wakil rakyat goyang kaki, makan gaji buta, duit banyak masuk poket, baik letak jawatan sebagai YB.

  2. Kalau mengeluh balik lewat.. Sila letak jawatan… Ape punye menteri bagi jawapan mcm tu… Elaun bulanan kau nk kedarah….. Inilah contoh terbaik menteri2 pakatan hancing lg busuk…

Comments are closed.