Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 21 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memanggil ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan PH kerana tidak hadir ke mesyuarat sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, ia merupakan satu perkara serius kerana bukan pertama kali berlaku sebaliknya, apa yang terjadi semalam merupakan insiden kali kedua.

“Ini adalah kali kedua, tidak cukup kuorum. Kita perlu berbincang dengan ahli Parlimen kerana mereka adalah calon untuk mewakili rakyat.

“Mereka kena sedar selepas menang pilihan raya mereka kena buat kerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Dana Majikan Pekerja 2019 dan Pelancaran Malaysia@work di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semalam, sidang Dewan Rakyat pada sebelah pagi bermula lewat dua minit apabila jumlah Ahli Parlimen yang hadir tidak mencukupi korum ditetapkan.

BACA: [VIDEO] Dewan Rakyat tak cukup korum lagi

Usul tidak cukup korum itu ditimbulkan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md menjemput Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik untuk menjawab soalan pertama yang dikemukakan oleh Datuk Dr Hassan Bahrom (PH-Tampin) pada sesi soal jawab lisan.

Mohamad Ariff yang dimaklumkan tentang perkara itu kemudian mengira sendiri kehadiran Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum mendapati hanya 24 daripada mereka yang hadir ketika itu.

Keadaan itu memaksa Mohamad Ariff mengarahkan bentara supaya membunyikan loceng sekali lagi bagi memberi peringatan kepada MP supaya memasuki dewan untuk menghadiri persidangan.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil kehadiran ahli Parlimen ke mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan dimaklum dalam mesyuarat parti.

Ujarnya, ia juga bergantung kepada kemahuannya jika mahu berbuat demikian.

Julai lalu speaker Dewan Rakyat pernah menangguhkan dewan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.

BACA: TERKINI : Dewan Tak Cukup Korum “Kita Dah Bagi WARNING” – Tun Mahathir

Perkara itu mendapat perhatian Dr Mahathir yang turut memberitahu ahli Parlimen Pakatan Harapan yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sudah diberi amaran. – MalaysiaGazette

Syif Dewan Rakyat: Dua menteri lima timbalan perlu hadir mesyuarat