KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang sepatutnya mula bersidang jam 10 pagi terpaksa ditangguhkan beberapa minit apabila hanya 24 ahli Parlimen berada di dalam dewan.

Keadaan itu berlaku sebaik sahaja Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memulakkan sesi pertanyaan bagi jawapan lisan dengan memanggil soalan pertama Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom.

Bagaimanapun salah seorang ahli Parlimen bangkit atas Peraturan Mesyuarat di mana korum tidak cukup dan dewan tidak boleh mula bersidang.

Mohamad Ariff kemudiannya mengira jumlah ahli Parlimen yang berada di dalam dewan dan mendapati hanya 24 wakil rakyat sahaja dan terpaksa membunyikan loceng.

Sebaik loceng dibunyikan dua ahli Parlimen masuk ke dalam dewan termasuk Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai).

Isu tidak cukup korum itu turut dimuatnaik Ahli Parlimen Subang, Wong Chen di Facebook beliau pagi ini.

“Bukan permulaan yang baik. Kami mempunyai masalah kuorum, hanya 25 Ahli Parlimen (1 menteri, 1 timbalan menteri, 23 Ahli Parlimen) pada jam 10 pagi,” katanya di Facebook, hari ini.

Wong Chen berkata sidang hari ini digantung selama dua minit kerana kekurangan seorang ahli Parlimen daripada kerajaan.

Untuk rekod, sidang Dewan Rakyat memerlukan 26 Ahli Parlimen daripada kerajaan untuk memulakan setiap sesi.

Pada 17 Oktober lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama 10 minit mulai jam 4.05 petang apabila jumlah Ahli Parlimen yang hadir tidak mencukup syarat yang ditetapkan.

Kejadian itu berlaku semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wajib potong gaji dan elaun menteri2 yang tak masuk dewan walaupun lewat 1 atau 2 minit sama syarikat swasta juga. Melainkan ada kepentingan luar negara.

Comments are closed.