Suasana Dewan Rakyat yang kosong ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan telah mewujudkan jadual dan ‘syif’ kehadiran untuk menteri, timbalan menteri dan ahli backbencher bagi memastikan kuorum mesyuarat sentiasa cukup.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, jadual yang disediakan dengan mengambil kira aktiviti lain wakil rakyat kerajaan itu juga memastikan sekurang-kurangnya dua menteri dan lima timbalan menteri akan menghadiri mesyuarat Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, jadual itu berbeza setiap hari kerana perlu bertoleransi dengan waktu dan aktiviti setiap menteri dan timbalan menteri.

“Walau bagaimanapun, ia memastikan terdapat menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen pada setiap waktu dalam mesyuarat Dewan Rakyat.

“Parti-parti dalam Pakatan telah mengeluarakan arahan kepada ahli-ahli yang perlu hadir,” katanya.

Kor Ming berkata, beliau sendiri telah memanjang isu kehadiran kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas berlaku kekurangan kuorum.

“Kabinet kemudian telah membincangkan hal ini dan memutuskan jadual syif diwujudkan,” katanya.

Jelas Kor Ming,  setiap parti akan mengendalikan hal kehadiran wakil rakyat masing-masing.

Ditanya tentang soal kehadiran DAP, Kor Ming berkata, partinya tidak mempunyai masalah berkenaan kehadiran Parlimen selama ini.

“Walaupun berlaku kekurangan kuorum hari itu, tetapi kehadiran DAP sebenarnya tiada masalah dan mempunyai anggota yang cukup,” katanya. – MalaysiaGazette