Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham hari ini membangkitkan persoalan adakah benar kerajaan Malaysia ketika di bawah Barisan Nasional telah ingkar terhadap terma-terma yang terkandung dalam Rundingan Damai Hatyai 1989.

Katanya, persoalan itu perlu dijelaskan oleh kerajaan supaya isu abu mayat pengasas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dibawa balik ke negara ini 16 September lalu dapat dilihat dari sudut fakta sebenar.

Beliau yang membahas usul Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat berkata, kegagalan Malaysia mematuhi terma-terma tersebut adalah sesuatu yang tidak baik dan boleh memburukkan nama negara.

“Perjanjian ini dibantu oleh Thailand. Izinkan saya baca perjanjian ini kerana empat perenggan sahaja, dan saya ingin dapatkan penjelasan kerajaan supaya rakyat Malaysia tahu apa yang telah dipersetujui.

“Dan sama ada abu mendiang Chin Peng dibawa balik kita dapat nampak dari satu keadaan mengikut fakta,” katanya.

BACA: Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, ditabur di Lumut

Koo Ham kemudiannya membacakan intipati perjanjian serta membariskan nama-mana pemimpin kedua-dua belah pihak yang memeterai perjanjian tersebut.

Perjanjian itu antara lain menyebut bahawa  anggota PKM berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka dan membubarkan parti itu.

Chin Peng yang mewakili PKM juga berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agung dan anggota PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.

Menerusi Artikel 3 perjanjian, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota PKM untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu dan kerajaan akan membantu mereka memulakan hidup baru di negara ini.

Perjanjian yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 itu juga memberi kebebasan kepada bekas anggota PKM untuk memilih sama ada pulang ke Malaysia atau terus tinggal di Selatan Thailand.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Wan Siden Wan Abdul Rahman; Tan Sri Mohd Hanif Omar, Ketua Polis Negara; dan Jeneral Hashim Mohd Ali, Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia.

PKM pula diwakili oleh Chin Peng, Setiausaha Agung PKM; Abdullah C.D, Pengerusi PKM dan Rashid Maidin, Komander Regimen ke-10.

Menurut Koo Ham lagi, kegagalan kerajaan mematuhi perjanjian antarbangsa itu menyebabkan orang lain tidak akan mempercayai kewibawanaan, integriti dan kejujuran Malaysia.

Semalam, abu mayat Chin Peng dimaklumkan telah dibawa pulang dan sebahagian daripadanya telah ditabur di perairan tidak jauh dari Lumut manakala sebahagian lagi di dalam hutan di Banjaran Titiwangsa.

Pendedahan selepas dua bulan abu tersebut dibawa masuk menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyifatkannya sebagai tidak wajar.

Kerajaan terdahulu tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia dan isu tersebut turut diulas oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis mengenainya pada Oktober 2013. – MalaysiaGazette