Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tindakan membenarkan abu mayat pemimpin komunis, Chin Peng dibawa balik ke negara ini walaupun sudah meninggal dunia tetapi ia tidak menukar sejarah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng.

“Walaupun hanya abu mayat tapi kita perlu jelas bahawa Chin Peng dari segi sejarahnya adalah seorang pengganas dalam negara kita.

“Jadi membenarkan abu mayatnya dibawa balik walaupun dia sudah meninggal ia tidak menukar sejarah bahawa beliau adalah pengganas yang dalam banyak insiden yang berlaku sewaktu komunis bertempur dengan tentera sehingga beribu-ribu anggota tentera dan polis cedera dan meninggal dunia manakala orang awam turut menerima nasib sama.

“Keluarga mereka masih ada, mungkin anak, isteri mereka atau cucu masih ada dan peristiwa menimpa anggota tentera mungkin arwah bapa mereka tentu tak boleh lupa.

“Malah mungkin ada bekas tentera atau orang awam tercedera masih hidup, yang dipotong kakinya kerana jerangkap samar perasaan mereka tak dihormati,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, usaha untuk membawa balik abu mayat Chin Peng telah dilarang oleh kabinet.

Difahamkan larangan itu masih kekal sehingga hari ini dan telah disahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman sendiri.

“Saya tidak tahu apakah tindakan kementerian selepas ini. Yang rakyat persoal adalah mereka bawa senyap-senyap, bermakna melanggar perintah dikeluarkan oleh KDN.

“Kita hendak tahu apa tindakan kerajaan selepas ini dan secara peribadi saya tidak setuju dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

“UMNO akan ada mesyuarat Majlis Tertinggi Jumaat ini, mungkin akan dibincangkan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KDN tidak tahu abu mayat Chin Peng dibawa masuk, akan siasat